Skip this ad x
TIGA cef yang memenangi pertandingan Columbia Asia Master Chef Challenge 2015.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Pengambilan makanan yang sedap, namun tidak sihat bukan saja mendatangkan risiko besar kepada kesihatan diri malah memberi kesan negatif dalam tempoh jangka masa panjang.

Sehubungan itu, dalam usaha mendidik rakyat Malaysia mementingkan pengambilan makanan sihat sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut 14 November lalu, Columbia Asia menjalankan pertandingan Columbia Asia Master Chef Challenge 2015 di The Cooking House, Bangsar, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia Asia Tenggara, Kelvin Tan berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada rakyat Malaysia untuk menukar tabiat pemakanan yang tidak sihat kepada sesuatu yang lebih baik serta berkhasiat.

“Hidangan kegemaran perlu dikorbankan demi menjaga kesihatan terutama kepada badan kerana walaupun sesuatu hidangan itu lazat namun tidak semestinya ia bermanfaat serta berkhasiat.

“Dengan tujuan mendidik masyarakat mengenai pemakanan yang lebih baik namun tetap lazat, sembilan cef dari Hospital Columbia Asia bertanding dalam acara itu dengan memberi sedikit kelainan dalam resipi kegemaran rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, selepas pengadilan dijalankan, pihak juri bersetuju menobatkan hidangan nasi goreng dengan gulungan ayam dan sos percik disediakan Cef Fauziah Pakwan Chik daripada Hospital Columbia Asia Setapak sebagai juara pertandingan itu.

“Tempat kedua adalah menu nasi lemak disediakan Cef M Ravindran daripada Hospital Columbia Asia Seremban manakala tempat ketiga dimenangi Cef Mahmor Abas daripada Hospital Columbia Asia Nusajaya yang menyediakan hida­ngan nasi dagang bersama kari ikan bakar.

“Bagi pilihan media pula, tempat pertama dimenangi Cef Ravindran dengan hidangan nasi lemak, tempat kedua Cef Mahmor dengan menu nasi dagang bersama kari ikan bakar serta tempat ketiga adalah hidangan mi wantan bersama kailan dan ayam kukus yang disediakan Cef Khairudin Nordin daripada Hospital Columbia Asia Petaling Jaya,” katanya.

Menurut Kelvin, usaha itu dijalankan bagi membuktikan terdapat resipi yang sihat khusus kepada penghidap diabetes tanpa menjejaskan keenakan rasanya.

“Sejajar dengan fokus kempen kami iaitu berteraskan pemakanan sihat sempena Hari Diabetes Sedunia 2015, kami ke dapur untuk membuktikan objektif kami iaitu membuktikan penyediaan makanan yang sihat dan lazat adalah mudah.

“Sebagai cef profesional, mereka memaparkan kreativiti masing-masing untuk memperkenalkan makanan sihat iaitu tidak terhad kepada makanan vegetarian serta bebas gluten saja,” ujarnya.

Tambahnya, sempena sambutan terbabit pihaknya turut me­ngadakan program khas bagi memberi peluang seluruh rakyat Malaysia mencuba hidangan lazat dan sihat di Hospital Columbia Asia terpilih, Sabtu lalu.

“Pesakit diabetes dan pesakit dalam hospital dapat menikmati hidangan itu secara percuma manakala pengunjung boleh merasai hidangan mesra-diabetes atau lapan menu makanan sihat lain dengan hanya RM4 sepinggan.

“Hasil jualan makanan itu didermakan kepada Persatuan Diabetes Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:00 AM