TRIO pingat perak bersama ukiran Malaysia.
TRIO pingat perak bersama ukiran Malaysia.
Teks dan foto Rodly Fadly

Seni ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran mungkin belum begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia, namun ia sudah membawa seorang remaja, Muhammad Haziq Hazwan Ruslin, 22, ke pentas antarabangsa de­ngan memenangi beberapa pertandingan.

Terbaru, pelajar jurusan seni kulinari Management And Science University (MSU) itu sekali lagi menjulang nama negara apabila membawa pulang pingat perak acara individu dan berpasukan kategori ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran pada pertandingan Piala Kulinari Antarabangsa Thailand.

Pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok pada September lalu itu turut disertai peserta dari Thailand, Jepun, Vietnam, Korea dan Taiwan.

Seramai 46 peserta bertanding acara individu dan 16 pasukan acara berpasukan.

Malaysia menghantar tujuh peserta acara individu dan tiga pasukan yang terdiri daripada pelajar seni kulinari daripada institusi pengajian tempatan seperti MMU, Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam, Selangor; Kolej Komuniti Rompin (KKR), Pahang dan Kolej Komuniti Nibong Tebal (KKNT), Pulau Pinang. Kontinjen negara diketuai pensyarah PSIS Mohd Yusof Yaakob.

Untuk acara individu, Haziq menggunakan tembikai, betik, tembikai susu, cili merah, cili api, bawang belanda dan daun leek bagi membentuk set ukiran menarik bagi membolehkannya memenangi pingat perak. Pingat emas dimenangi peserta Thailand Wutikorn Boonthoom sementara gangsa dimiliki seorang lagi peserta Malaysia, Jamilul Khairi Abd Rasid dari KKR.

Dalam acara berpasukan, Haziq yang berpasangan dengan Muhammad Taufiq Mohd Halim dan Mohamad Hidir Musa mewakili KYPJ, juga terpaksa akur kepada kehebatan Thailand dengan memenangi perak. Tempat ketiga diraih wakil negara, KKR yang dianggotai Mohd Aliff Aizat Mohd Zaini, Jamilul Khairi dan Muhammad Azuwan Shafie.

Menurut Haziq, walaupun sekadar pingat perak, dia sangat berpuas hati dengan pencapaiannya dan rakan berikutan peserta Thailand lebih berpengalaman dan terkenal sebagai pakar ukiran buah-buahan.

“Ini pertandingan terbuka yang boleh disertai semua peringkat umur. Berbanding pasukan Malaysia yang diwakili pelajar, negara lain terutama Thailand membariskan peserta jauh berpengalaman.

“Malah, Thailand memang terkenal melahirkan pakar dalam seni ukiran sama ada buah-buahan, air batu, kek dan sebagainya yang berkaitan dengan seni kulinari selain kerap mendominasi pertandingan begini.

“Thailand juga memiliki pusat latihan khusus untuk seni reka ukiran berkaitan makanan sedangkan di Malaysia, ia masih bidang baru dan belum berkembang,” katanya.

Kejayaan terbaru di Bangkok itu kali kelima bagi Haziq yang sebelum itu turut membawa pulang pingat dalam setiap pertandingan disertai­nya.

Pada Jun, lalu, dia memenangi emas individu dan perak berpasukan dalam pertandingan Asian Cullinary Challenge di Kuantan, Pahang.

Pada Mei lalu, Haziq menggondol pingat gangsa acara individu dan berpasukan dalam pertandingan Thailand Ultimate Chef Challenge di Bangkok serta memenangi gangsa (individu) dan perak (berpasukan) di pertandingan Battle Of The Chef di Pulau Pinang pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:04 AM
Kabinet Malaysia 2020