Shanghai: Kristoffer Broberg (gambar) membenam birdie dari jarak 3.7 meter (12 kaki) pada lubang play-off pertama sekali gus muncul juara Kejohanan Masters BMW yang juga gelaran Jelajah Eropah pertamanya di Shanghai, semalam.

Pemain Sweden itu mencatat empat di bawah 68 untuk mengumpul keseluruhan 17 di bawah par 271 bersama pemain Amerika Syarikat Patrick Reed sekali gus memaksa kedua-dua pemain itu mengharungi play-off lubang ke-18 lapangan Lake Malaren.

Pukulan kedua Reed singgah di bunker bersebelahan green manakala bola Broberg yang menggunakan sembilan iron, mendarat di green tetapi sedikit melewati lubang.

Walaupun Reed merapatkan bolanya dengan lubang, Broberg tidak mensia-siakan peluang untuk muncul juara dengan membenam birdie.

Sebelum itu, Broberg sekadar mencatat par di lubang berkenaan dengan kedudukan bola hampir sama tetapi dia tidak melakukan kesilapan pada pusingan play-off.

Broberg menerima hadiah paling besar sepanjang kariernya iaitu AS$1.16 juta (RM5.09 juta) dan melonjakkan dirinya ke tangga ke-12 senarai Race to Dubai berbanding 61 sebelum ini.

“Ia impian yang berubah menjadi kenyataan. Saya berusaha keras untuk ini. Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan kegembiraan saya,” kata pemain Sweden itu yang memulakan saingan dengan kedudukan di tangga ke-149 dunia tetapi dijangka dapat menyelitkan dirinya dalam kelompok 100 terbaik ranking terbaru yang akan dikeluarkan hari ini.

“Pukulan drive saya sangat menjadi,” katanya mengenai aksi di lubang play-off. “Saya menggunakan sembilan iron untuk pukulan kedua dan berjaya menyempurnakan putt.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:27 AM