GARMASH (tengah) dicabar pemain Slovenia, Rene Krhin (kiri) sambil dibantu Seleznyov.
GARMASH (tengah) dicabar pemain Slovenia, Rene Krhin (kiri) sambil dibantu Seleznyov.

Kiev: Andrei Yarmolenko dan Yevhen Seleznyov menjaringkan gol pada setiap babak bagi membolehkan Ukraine menang 2-0 ke atas Slovenia pada perlawanan pertama play-off Euro 2016.

“Kami bermain baik dan gembira dengan keputusan ini tapi masih ada 90 minit untuk diharungi,” kata pengurus Ukraine Mikhail Fomenko.

“Saya menjangkakan perlawanan sengit di Maribor nanti kerana Slovenia pasukan yang kuat serta teratur. Mereka juga akan menyerang habis-habisan.

“Hari ini kami bermain baik terutama di benteng pertahanan tapi minggu depan, kami perlu lebih baik lagi untuk mengekang setiap serangan Slovenia, apatah lagi kami akan bermain di tempat mereka.”

Perlawanan di Lviv Arena itu bermula dengan tafakur seminit bagi menghormati mangsa insiden serangan di Paris.

Ukraine yang tidak pernah menang semua perlawanan play-off untuk ke kejohanan utama, mendominasi permainan tetapi penjaga gol pelawat, Samir Handanovic terbukti kental mengawal gawangnya sepanjang 20 minit pertama.

Dua minit kemudian, bola singgah di kaki Yarmolenko apabila Handanovic gagal mengeluarkan hantaran lintang Yevhen Konoplyanka sebelum melepaskan rembatan rendah untuk gol pertama tuan rumah.

Slovenia yang menewaskan Ukraine 3-2 menerusi agregat pada play-off sama 16 tahun lalu, mula melancarkan serangan dan pemain tengah Fiorentina Josip Ilicic terlepas peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

Denys Garmash turut memiliki peluang menggandakan kelebihan Ukraine lima minit sebelum rehat tetapi tandukan pemain tengah Dynamo Kiev itu sempat ditepis Handanovic.

Selepas rehat, Ukraine yang terus menekan lawan, memperoleh jaringan kedua pada minit ke-54 apabila Seleznyov menjaringkan gol selepas menerima hantaran Artem Fedetskiy. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 7:34 AM