KEMAMPUAN Rahim dalam pentas teater tidak perlu dipertikaikan.
UMIE bersama Ungku Ismail.
ANTARA babak teater Mak Cun.
KEHADIRAN Ogy (empat dari kanan) beri impak tersendiri dalam teater Mak Cun.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan saja mengajak penonton untuk bergelak ketawa, pementasan teater muzikal Mak Cun yang mula dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur, Jumaat lalu turut menyelitkan mesej berguna sekali gus kritikan sosial kepada masyarakat.

Teater yang diangkat daripada drama bersiri Mak Cun yang mencetuskan fenomena di TV3 ini menampilkan lakonan mantap Erma Fatima sendiri selaku pengarah dan watak utamanya.

Ternyata, watak Mak Cun, wanita kampung yang kelam-kabut dan pekat bercakap dialek utara itu bagaikan sudah sebati dalam diri Erma sendiri seperti yang dilihat di televisyen.

Malah, tidak dapat dinafikan drama yang memaparkan kisah penjual bedak sejuk ini memiliki ramai pengikut setia membabitkan pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak hingga orang dewasa.

Justeru, tidak hairanlah, Istana Budaya dibanjiri penonton pada malam itu.

Selain Erma, teater ini juga mengekalkan barisan pelakonnya iaitu Datin Umie Aida, Nora Danish, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan dan Betty Rahmad.

Tidak ketinggalan, penampilan wajah baru untuk menyerikan teater ini iaitu Dafi Ismail dan Ungku Ismail.

Ketika ditemui, Erma mengakui bukan mudah untuk berlakon watak utama sebagai Mak Cun dan mengarah teater itu sekali gus.

“Saya memohon maaf jika ada penonton yang tidak berpuas hati dengan persembahan pada malam pertama ini.

“Saya akui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi pementasan ini.

“Saya juga akan merombak babak tertentu atau yang tidak sesuai untuk memastikan teater ini tidak meleret nanti,” katanya.

Bagi pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad, 47, ini, dia akan memperbaiki kelemahan sedia ada untuk memastikan yang terbaik pada malam seterusnya.

“Pada pementasan malam pertama ini, saya hanya fokus pada watak sendiri dan tidak sempat melihat reaksi penonton.

“Sebenarnya, persembahan pada malam ini bermula agak lewat, tetapi saya sempat mencatit kesilapan setiap pelakon dalam teater ini untuk diperbaiki pada hari pementasan seterusnya,” katanya.

Penampilan Ogy beri impak tersendiri

Pementasan teater Mak Cun turut menyaksikan lakonan hebat aktres berkaliber Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, 53, yang memegang watak Chombi.

Walaupun kemunculan Ogy hanya pada penghujung cerita ini, tetapi ia tetap beri impak menarik pada teater ini.

Kemunculan Ogy yang bawa watak Chombi yan juga ibu saudara kepada Zeenat Manisah (lakonan Umie Aida) turut menggamatkan lagi pementasan berkenaan.

Ia juga menyaksikan gandingan semula Erma dan Ogy selepas lebih 20 tahun tidak beraksi selepas fasa ‘perang dingin’ akibat perbalahan yang dicetuskan menerusi telefilem Pengantin Popular pada 1994.

“Walaupun kurang sihat, saya tetap berusaha berikan yang terbaik pada pada pementasan malam ini.

“Erma sudah berikan kepercayaan dan sebagai pelakon, saya perlu pastikan dapat berikan komitmen terbaik seperti diharapkan.

“Pada masa sama, Erma juga memahami situasi saya selaku tenaga pengajar Program Pencetus Ummah.

“Jika sebelum ini, penonton sudah biasa melihat saya dalam drama, kini mereka berpeluang melihat saya memegang watak komedi di pentas teater pula,” katanya.

Ogy berkata, dia yakin teater Mak Cun akan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

“Teater ini bukan lawak yang kosong yang memaparkan kisah Mak Cun, wanita penjual bedak sejuk sebaliknya ia mempunyai mesej yang berguna kerana ia dekat dengan masyarakat pada penonton,” katanya.

Penampilan Umie atau nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali yang sering dikenali dengan watak berat dan air mata tidak kurang hebatnya menerusi watak komedi Zeenat Manisah.

Bagai dijangka, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu berjaya membawakan watak Zeenat Manisah dengan baik sekali gus menonjolkan sisi lain kerana ia genre ringan dan komedi.

Penampilan Nora, Balkish dan Rahim juga menghidupkan lagi cerita ini seperti dikehendaki skripnya.

Penampilan Ungku Ismail yang membawa watak pegawai Mara juga menghiburkan. Apa yang menarik, Ungku Ismail turut menari tarian Bollywood dalam teater ini.

Begitu juga Dafi yang melakonkan watak lelaki lembut iaitu Meor sekali gus mencuit hati penonton.

Secara keseluruhannya pementasan ini menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Teater muzikal ini mula ipentaskan bermula 14 November lalu hingga 22 November ini.

Tiket berharga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156 boleh dibeli secara atas talian dengan menghubungi redtix.airasia.com atau di kaunter Istana Budaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 8:39 AM