Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Seorang penjaga stor dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku salah atas pertuduhan membuat pakatan mempromosi keganasan di negara ini, April lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafifi Tarmizi, 25 dan memerintahkan hukuman itu bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 25 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafifi didakwa melakukan pakatan jenayah dan bersetuju untuk mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini, di Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat di sini, antara 7 malam 24 April dan 1 pagi 25 April lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 3:33 PM