ROSBERG (kiri) dan Hamilton catat kemenangan satu-dua buat Mercedes.
ROSBERG (kiri) dan Hamilton catat kemenangan satu-dua buat Mercedes.
Reuters

Sao Paulo: Nico Rosberg menjuarai Grand Prix (GP) Formula Satu Brazil buat kali kedua berturut-turut semalam, menafikan peluang rakan sepasukan Mercedes Lewis Hamilton meraih kemenangan pertama di tanah kelahiran idolanya Ayrton Senna.

Hamilton, juara dunia tiga kali yang gagal dalam sembilan percubaan menjuarai perlumbaan di Brazil, sekadar menamatkan saingan 7.756 saat di belakang untuk kemenangan satu-dua buat Mercedes bagi kali ke-11 dalam 18 perlumbaan musim ini.

Pelumba Ferrari Sebastian Vettel menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk penamat podium ke-79.

“Ya, memang hebat,” jerit Rosberg selepas mendominasi perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat.

Dia dan Hamilton dibezakan kurang daripada satu saat sepanjang 10 pusingan selepas hentian pit pertama namun jurang itu kemudiannya melebar.

“Saingan hebat daripada Lewis namun saya berjaya mengawal kelajuan,” kata pelumba Jerman itu yang cuba menahan diri daripada terlalu meraikan kemenangan demi menghormati mangsa serangan di Paris, Jumaat lalu.

“Kami lihat penguasaan Lewis semakin merosot dan perkara itu mengesahkan betapa pentingnya penjagaan tayar.”

Kemenangan perlumbaan kedua terakhir musim ini yang kelima buat Rosberg tahun ini, kedua berturut-turut dan ke-13 sepanjang kariernya bagi memastikan pelumba Jerman itu di tempat kedua dalam kejuaraan ditakluki pesaingnya dari Britain.

“Saya mempunyai kepantasan baik cuma sukar untuk memotong di sini,” kata Hamilton yang memulakan perlumbaan di barisan depan bersama Rosberg namun sukar mencari jalan mengatasi rakan sepasukannya meskipun berusaha bersungguh-sungguh.

“Tayar saya berdepan masalah. Litar ini hebat tapi anda tidak boleh terlalu rapat untuk berlumba.”

Pelumba Britain itu yang menjulang kejuaraan ketiganya di Texas bulan lalu, banyak bercakap mengenai hajatnya menyamai pencapaian juara tiga kali Senna.

Malah Hamilton sudah mencuba lapan kali untuk muncul juara di negara kelahiran pelumba itu, tetapi nampak gayanya dia perlu menunggu setahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:48 AM