X
Khair ketika mengumumkan Analisis Keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan, pagi tadi. FOTO Hayati Ibrahim
Khair ketika mengumumkan Analisis Keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan, pagi tadi. FOTO Hayati Ibrahim
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Seramai 38,344 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, peratusan calon yang mendapat pencapaian cemerlang (semua A) meningkat sebanyak 0.76 peratus iaitu 7.89 peratus pada 2014 kepada 8.65 peratus pada tahun ini.

"Bagaimanapun, peratusan yang mendapat pencapaian Baik (minimum gred C tidak termasuk semua gred D) menurun 1.34 peratus iaitu daripada 59.03 peratus pada 2014 kepada 57.69 peratus tahun ini.

"Peratusan calon yang mendapat pencapaian semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum iaitu semua gred D atau E atau kombinasi kedua-dua gred menurun 0.21 peratus iaitu daripada 2.87 peratus pada 2014 kepada 2.66 peratus tahun ini,"katanya ketika Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2015 di Kementerian Pendidikan di sini, pagi tadi.

Khair berkata, peratusan kumpulan calon dibawah tahap penguasaan minimum ini adalah yang terendah dalam tempoh empat tahun.

Seramai 455,929 murid menduduki UPSR yang diadakan pada 8 hingga 10 September lalu di 8,134 pusat peperiksaan.

Murid boleh mengambil keputusan mulai 10 pagi di sekolah masing-masing atau menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 9:46 AM