ALYAH. FOTO Arkib NSTP Adi Safri
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi, Alyah, 34, mengakui ada ketikanya gurauan pengacara Nabil Ahmad sedikit keterlaluan apabila kerap mengusik dia dan suaminya, Datuk Ramli MS ketika mengacarakan program Gegar Vaganza 2 (GV 2).

Alyah ketika dihubungi, bagaimanapun mengakui belum berkesempatan menonton GV 2 tetapi dia tahu pengacara itu kerap mengusiknya dengan Ramli yang juga juri tetap program terbabit.

“Saya tahu dia selalu mengusik kami. Walaupun kadang-kadang sedikit keterlaluan tetapi saya tetap ambil yang positif,” katanya.

Menurut Alyah, dia tidak mahu melatah atau terasa hati kerana beranggapan itu sebahagian daripada tugas Nabil bagi menghidupkan suasana majlis.

"Saya tahu dia seorang yang gila-gila, jadi tak ada apa perlu diperbesarkan. Mungkin ada orang dia lebih cepat terasa, tapi saya cuma ambil yang positif," katanya.

Menurut penyanyi lagu Sesal Separuh Nyawa ini lagi, suaminya juga tidak pernah bercerita perkara terbabit apabila pulang ke rumah.

"Dari awal perkahwinan hingga sekarang, kami tak pernah mencampuri urusan kerja masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:47 PM