PETIKAN daripada video yang menjadi viral di laman sosial.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan negeri diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan laporan hasil siasatan kes buli yang berlaku di sekolah rendah di Jertih.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkata, hasil laporan perlu dikemukakan kepadanya sebelum tindakan ke atas enam murid yang dikatakan membuli mangsa diambil.

"Berdasarkan video berdurasi lebih enam minit seperti diviralkan melalui laman sosial, saya lihat berkemungkinan wujud unsur gurauan kerana daripada maklumat yang diterima, murid-murid yang membuli dan yang menjadi mangsa adalah rakan sekampung dan tidak mempunyai persengketaan sebelum ini.

"Selain itu, tubuh mangsa pula lebih besar daripada pembuli namun, dia tidak melawan selain kejadian berlaku di ruang terbuka.

"Jadi saya mahu pegawai pendidikan negeri, daerah, guru besar dan masyarakat yang terbabit melihat perkara ini secara jelas sebelum sebarang hukuman dibuat.

"Jika betul kes itu ada kaitan dengan buli, tindakan juga perlu dikenakan ke atas guru kerana tiada pemantauan sedangkan kejadian itu berlaku di tempat terbuka," katanya ketika ditemui pada Majlis pengumuman keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:46 PM