AWIE. FOTO arkib NSTP Muhd Asyraf Sawal
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Awie, 47, mengakui dua kali berdepan kegagalan dalam rumah tangga membuatkan dia begitu berhati-hati dalam menentukan soal jodoh pada masa depan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata, berbanding dahulu dia kini tidak lagi tergesa-gesa mencari pengganti dan lebih senang menyerahkan soal ini pada ketentuan takdir.

"Ajal, maut dan jodoh di tangan Tuhan. Kita merancang dan Tuhan yang menentukan. Kalau saya merancang sekarang, belum tentu saya akan gembira di kemudian hari. Seolah-olah saya terlalu mencari sangat jodoh dan itulah yang terjadi dalam hidup saya," katanya ditemui pada majlis penghargaan media sempena Wings 30 Tahun di sini, hari ini.

Walaupun masih berstatus suami kepada Rozana Misbun tetapi bapa kepada lima anak ini tidak menolak kehadiran wanita lain untuk dijadikan isterinya selepas ini.

"Sebagai manusia normal saya masih lagi mencari isteri. Saya kini berkawan dengan ramai wanita. Ada dalam kalangan mereka ingin mendekati saya secara serius dan ketika ini pun saya sedang mengenali seseorang.

"Kami berkawan dan merancang tapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Sekarang saya lebih suka proses mengenali kerana ia lebih baik daripada merancang. Apabila sudah kenal mendalam, barulah boleh merancang. Tunggulah apabila sudah tiba masanya dan Allah izinkan, maka jadilah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 7:58 PM