Kawasan liputan dihalang dinding.
Penggunaan peranti mudah alih berinternet meningkat.
Radio Dot pancar isyarat.
Oleh Afiq Hanif

Keadaan geografi dan pembangunan pesat kawasan bandar di Malaysia boleh mengganggu liputan telekomunikasi terutama dalam bangunan atau kawasan luar yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

Hakikatnya, teknologi rangkaian mudah alih berkualiti dan berkapasiti tinggi amat ditagih untuk memastikan operator perkhidmatan telekomunikasi terus menawarkan pengalaman liputan terbaik kepada pelanggan.

Ditambah pula, kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahun lalu menunjukkan peningkatan penggunaan telefon pintar sehingga 53.4 peratus menunjukkan betapa hebatnya perkembangan teknologi mudah alih.

Lagipun, sejumlah 90.1 peratus pengguna menggunakan telefon pintar untuk mengakses Internet.

Ia sekali gus memerlukan rangkaian yang benar-benar berkualiti bagi mengelak berlakunya kelembapan isyarat yang mengganggu pengalaman pengguna.

Syarikat telekomunikasi bertungkus-lumus untuk menjawab pelbagai persoalan pengguna berkaitan kualiti rangkaian, namun mungkin ada baiknya melihat sedikit beberapa alternatif yang ada.

Contohnya, bagi menangani cabaran terbabit, Ericsson melancarkan Sistem Radio Ericsson dan Radio Dot di Malaysia yang direka bentuk untuk membekalkan liputan berkapasiti tinggi dan berkualiti kepada rangkaian mudah alih tempatan.

Ketua Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton berkata, teknologi terbabit pada asalnya dibangunkan dan diperkasa untuk memberi perkhidmatan suara dalam lingkungan tertentu.

“Kedua-dua langkah penyelesaian membantu operator telekomunikasi meningkatkan perkhidmatan jalur lebar yang dibekalkan dari segi meluaskan liputan dan kapasiti data untuk pelanggan mereka.

“Selepas 50 tahun, kami di Ericsson masih terus menangani keperluan jaringan jalur lebar yang kian meningkat dengan memperkenalkan pelbagai produk dan langkah penyelesaian yang inovatif,” kata Ashton kepada [email protected].

Katanya, Sistem Radio Ericsson yang modular, kompak dan jimat elektrik menjadi landasan yang ideal untuk menyokong perniagaan operator telekomunikasi dan menyediakan asas untuk membangunkan teknologi 5G.

Rangkaian telekomunikasi radio pada asalnya dibina hanya untuk menampung perkhidmatan suara, tetapi kini menghadapi cabaran untuk menampung keperluan pelbagai aplikasi.

Manakala Radio Dot diperkenalkan untuk memberi pelbagai penyelesaian kepada akses jalur lebar dalaman yang berkualiti tinggi, perkhidmatan suara dan kemudahan mudah alih yang mantap.

“Bayangkan dengan peranti kompak ia mampu memberi liputan dengan kelajuan sehingga 50Mbps,” katanya.

Adakah anda mengetahui kebanyakan rangkaian mudah alih diakses dalam bangunan yang mana dinding dan batu bata menjadi antara penghalang kepada rangkaian yang baik?

Oleh itu, perlunya sistem multilayer atau pelbagai lapisan yang bekerjasama antara satu sama lain bagi membolehkan isyarat rang­kaian dipancarkan terus tanpa gangguan.

“Kami jangkakan 30,000 ‘site’ diperlukan untuk keperluan Internet mudah alih pada masa depan terutama bagi penggunaan dalam bangunan,” kata Ashton.

Menurutnya, ketika syarikat telekomunikasi bimbang mengenai nilai pemasangan bagi teknologi baru, sistem radio seperti Ericsson berupaya menjimatkan kos sehingga 20 peratus.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak syarikat telekomunikasi tetapi apabila kos kurang, ia secara relatifnya juga memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.

Katanya, kerjasama jenis ‘multitenant’ boleh dilakukan antara syarikat telekomunikasi dan pemilik bangunan untuk menyerap kos.

“Terdapat isu seperti siapa yang sepatutnya mengeluarkan kos memasang tetapi kaedah boleh dilakukan ialah dengan kerjasama semua pihak,” kata Ashton.

Beliau memberi contoh, kaedah kerjasama terbabit dimanfaatkan syarikat telekomunikasi di Sepanyol apabila pemilik kelab bola sepak Real Madrid dan Barcelona bekerjasama dengan pengurusan stadium serta syarikat telekomunikasi untuk memberi liputan lebih baik kepada pengguna.

“Akhirnya, pengguna berpuas hati mendapat liputan walaupun berada di kawasan yang penuh dengan manusia,” katanya.

Di Malaysia, Ericsson sendiri memanfaatkan Radio Dot sehingga berjaya memberi liputan 50Mbps dalam bangunan pejabat­nya berbanding hanya 1Mbps sebelum ini.

Memandangkan permintaan bagi jalur lebar mudah alih dijangka meningkat sebanyak beberapa magnitud dalam tempoh 10 hingga 15 tahun dari sekarang, spektrum tambahan bagi perkhidmatan mudah alih akan menjadi prasyarat untuk memenuhi keperluan itu.

Laporan bebas oleh Ericsson, Huawei dan Qualcomm Technologies, Inc yang disiarkan Jun 2015 lalu dinilai melalui akses awal kepada spektrum CBand dalam julat frekuensi 3,4-4,2 GHz apabila memainkan peranan penting dalam konteks berkenaan dengan bertindak sebagai julat frekuensi yang amat sesuai untuk evolusi inovasi 4G dan 5G masa depan.

Laporan mendapati akses awal kepada spektrum dalam C-Band mampu menyediakan kapasiti tambahan yang penting bagi pengendali rangkaian untuk memenuhi permintaan trafik yang semakin meningkat, selamat serta memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik.

Ia juga menunjukkan manfaat ekonomi yang signifikan untuk senario terbabit dengan membolehkan kapasiti yang lebih besar dan kelajuan muat turun yang lebih tinggi daripada rangkaian semasa terutama di kawasan panas.

Laporan itu turut mencadangkan penubuhan rangka kerja nasional untuk membolehkan perkongsian spektrum antara jalur lebar mudah alih dan perkhidmatan sedia ada bagi melindungi mereka daripada gangguan rangkaian mudah alih, di samping membenarkan pengendali menyediakan kualiti perkhidmatan bermutu tinggi.

Mekanisme perkongsian boleh dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan yang Akses Lesen Bersama (LSA) yang dikawal selia untuk memberi insentif kepada potensi perkongsian penuh yang ditawarkan oleh jalur lebar ini.

“Sistem Ericsson Radio yang modular, kompak dan jimat elektrik menjadi platform yang ideal untuk menyokong perniagaan operator telekomunikasi dan menyediakan asas untuk membangunkan teknologi 5G di Malaysia.”

Rangkaian telekomunikasi radio pada asalnya dibina hanya untuk menampung perkhidmatan suara, tetapi kini menghadapi cabaran untuk menampung keperluan pelbagai aplikasi.

Ia lebih ketara di persekitaran dalaman yang mencabar syarikat telekomunikasi dengan kos yang tinggi dan liputan yang terhad.

Pembawa transformasi positif, Sistem Ericsson Radio menyediakan landasan 5G kepada operator telekomunikasi yang tiada tandingannya dalam industri ini melalui teknologi Ericsson ‘Many-Core Baseband Architecture’ yang mengurangkan penggunaan tenaga, ruang dan masa pemasangan.

Sistem modular yang inovatif ini merangkumi radio jimat elektrik yang separuh saiz dan beratnya daripada radio biasa dan ‘baseband’ paling cekap serta Internet untuk semua (IoT) untuk memudahkan pembekalan perkhidmatan jalur lebar mudah alih kepada pelanggan dan perniagaan mereka yang sedang bergerak ke arah 5G.

Sistem Radio Ericsson memberi prestasi terbaik dengan keperluan yang minimum.

Ia menyokong amalan industri terbaik seperti pemasangan dengan satu bolt, pelancaran segera, pengurangan masa untuk mencapai keuntungan, dan penjimatan kos operasi.

Radio Dot diperkenalkan untuk memberi pelbagai penyelesaian kepada akses jalur lebar dalaman yang berkualiti tinggi, perkhidmatan suara dan kemudahan mudah alih yang boleh dipercayai.

Ia mengatasi cabaran persekitaran dalaman untuk operator telekomunikasi dari segi kerumitan teknologi, kemampuan

untuk diperluas dan kelancaran perkhidmatan berterusan.

Sistem membabitkan radio selular yang beratnya hanya 300 gram, sekecil tapak tangan dan berbentuk piring.

Antena ‘Dot’ yang cang­gih disertakan untuk meningkatkan prestasi penggunaan dalaman dengan membekalkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Keistimewaannya seperti saiz kecil, reka bentuk kompak dan kemampuan untuk diperluas melalui kemas kini perisian memudahkan pengguna.

Sudah pasti, ia membuka laluan evolusi baru de­ngan memberi penyelesaian menyeluruh kepada penggunaan di ruang dalaman yang sederhana dan besar misalnya, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan stadium.

Keserasian dengan rangkaian makro juga memudahkan penggunaan dan pengemaskinian berkapasiti besar dalam lingkungan luas.

Oleh itu, akses yang konsisten diperoleh di mana-mana lokasi dalaman setanding dengan rangkaian luaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:02 AM