Madrid: Presiden Liga Sepanyol (LFP) Javier Tebas mendedahkan impiannya yang mahu melihat bintang Liga Perdana Inggeris Wayne Rooney dan David De Gea (gambar) bermain di Sepanyol.

Malah, beliau turut menaruh harapan melihat kelibat pemain sayap Bayern Munich serta Perancis Franck Ribery beraksi dalam liga negara itu.

La Liga ketika ini mempunyai dua bintang paling hebat di dunia - Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo - selain pemain yang dikatakan bakal menjadi pemain terbaik dunia, Neymar.

Liga itu turut menampilkan pemain hebat seperti Gareth Bale dari Wales dan James Rodriguez (Colombia) tetapi Tebas berkata, La Liga masih kekurangan beberapa nama besar.

“Saya suka jika dapat melihat Rooney bermain di Sepanyol,” kata Tebas.

“Saya mahu melihat ikon Liga Perdana Inggeris bermain dalam liga kami. Lebih baik lagi jika ada Ribery.

“(David) de Gea antara penjaga gol terbaik dunia dan saya harap dia dapat bersama kami, tidak kira dengan pasukan mana sekalipun.”

Kehadiran Neymar yang menyertai Barcelona pada 2013 serta Rodriguez yang berpindah ke Real Madrid selepas Piala Dunia 2014, meningkatkan profil La Liga di dalam Amerika Latin.

“Sudah tentu,” kata Tebas sambil mengesahkan kesannya terhadap liga di benua sama. “Kejayaan mereka menyesuaikan diri dengan suasana baru memberikan lonjakan buat liga kami.

“Bale turut mampu menarik penonton. Dia bintang tahap tinggi dan mempunyai impak besar ke atas Wales.

“Sebagai tambahan, Madrid juga berjaya membantu meningkatkan tahap permainan Bale di peringkat antarabangsa. Kehadirannya sudah mula diperkatakan.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:30 AM