CHONG Wei turun berdepan Sugiarto hari ini.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan badminton lelaki negara, Hendrawan mengakui risau dengan tahap kecergasan Datuk Lee Chong Wei kerana perlu kembali menyambung aksinya pada pusingan pertama Siri Super Terbuka Hong Kong hari ini.

Namun beliau berharap juara Siri Perdana Terbuka China itu akan tampil dengan tahap keyakinan tinggi apabila turun beraksi berdepan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto nanti.

“Faktor usia yang semakin meningkat sudah pasti menyebabkan Chong Wei perlu mengambil masa untuk kembali cergas sepenuhnya, terutama selepas berdepan jaguh China dua hari berturut-turut (bertemu Lin Dan di separuh akhir dan Chen Long final),” katanya.

Selepas meraih kejuaraan sulung Terbuka China Ahad lalu, bekas pemain nombor satu dunia itu hanya mempunyai tempoh dua hari untuk menjalani proses pemulihan.

Lebih memeritkan pemain berusia 33 tahun itu dijangka berdepan Chen Long di suku akhir Terbuka Hong Kong dan jika menang diramal bertemu Lin Dan untuk perebutan slot ke pentas final.

“Sudah pasti Chong Wei berada dalam keadaan penat apatah lagi selepas mengharungi perlawanan sukar bertemu Lin Dan dan Chen Long,” kata Hendrawan.

Walaupun Hendrawan tidak menemani Chong Wei untuk kejohanan di rantau Asia Timur itu, bekas pemain perseorangan Indonesia itu sentiasa berhubung dengan anak didiknya untuk mengingatkannya supaya sentiasa berhati-hati ketika berdepan Chen Long dan Lin Dan.

“Apa yang saya tengok, corak permainan Chong Wei memang ada perubahan. Dia mempelbagaikan corak permainannya. Namun, Chen Long dan Lin Dan pasti tidak akan duduk diam selepas mereka tewas kepadanya.

“Mereka juga pasti akan tampil dengan strategi berbeza kali ini. Untuk itu, Chong Wei perlu lebih berhati-hati jika bertemu mereka semula. Dia perlu sentiasa turun dengan keyakinan tinggi,” kata bekas juara dunia 2001 itu.

Selain Chong Wei, turut turun beraksi hari ini ialah Chong Wei Feng yang akan menentang Hu Yun dari Hong Kong, perseorangan wanita, Tee Jing Yi berdepan pemain tuan rumah, Yip Pui Yin dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertemu Lin Chia Yu-Wu Hsiao Lin (Taiwan).

Turut mengambil bahagian di kejohanan ini ialah bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Hoon Thien How-Lim Khim Wah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:33 AM