Khairuddin (dua dari kiri) dan Matthias(kanan) ketika didakwa sebelum ini. Gambar fail/Mohamad Shahril Badri Saali
Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa pertuduhan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah kedua-dua pihak.

Oleh itu, masing-masing dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim Mohd Azman juga memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen dan ditetapkan untuk sebutan pada 12 Januari tahun depan.

Pendakwaan diwakili Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Mohd Masri Daud.

Khairuddin diwakili peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla manakala Matthias diwakili peguam Zainur Zakaria.

Khairuddin dan Mathias didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perbankan dan kewangan negara antara Jun dan Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi antaranya Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura, Balai Polis Charing Cross, London, United Kingdom, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern, Switzerland dan di pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis, antara 28 Jun hingga 26 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 12:41 PM