TURUT berpeluang menerima rawatan dan urutan kaki oleh kakitangan Teratak Spa.
Teks dan gambar Zuhainy Zulkiffli


Siapa sangka di sebalik kesibukan laluan trafik di Bayan Baru, Georgetown setiap hari, tersembunyi sebuah pusat spa berkonsepkan Nusantara yang mendamaikan.

Bukan sahaja mementingkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan, Teratak Spa turut mengutamakan dekorasi taman sebagai pelengkap kepada terapi minda.

Malah, deruan air yang mencurah dari kolam buatan di bahagian depan pusat spa berkenaan turut melenyapkan bunyi enjin kenderaan di laluan sesak itu.

Namun, itu hanyalah sebahagian daripada ciri unik Teratak Spa yang diasaskan Norliza Osman, sejak 11 tahun lalu dan kini mempunyai tiga lagi cawangan di Bandar Perda, Teluk Kumbar di Pulau Pinang selain Kuala Lumpur.

Usahawan wanita terbabit berkata, hiasan dalaman yang mempunyai elemen Bali, Indonesia itu turut menyediakan perkhidmatan urutan aromaterapi.

“Kami amat menekankan mengenai ilmu fisioterapi dan psikoterapi kepada pelanggan supaya urutan berkenaan memberi manfaat terhadap tubuh badan mereka.

“Bukan saja urutan badan, Teratak Spa turut menawarkan perkhidmatan pemakaian inai, rawatan muka, rambut serta rawatan kuku kaki dan tangan,” katanya.

Norliza berkata, Teratak Spa aktif mengadakan beng­kel dan kursus kemahiran rawatan spa kepada pelajar di Kolej GiatMARA dan Kolej Komuniti sejak 2009.

Katanya, kerjasama itu dilakukan bagi mening­katkan tahap kemahiran belia dalam industri perkhidmatan spa dan menjadikan bidang itu sebagai kerjaya.

“Melalui kerjasama itu, pelajar boleh melihat cabang potensi pekerjaan yang boleh diteroka selepas mereka tamat belajar.

“Misalnya, mereka boleh menjadi usahawan spa, pengeluar produk berasaskan rawatan spa atau menggunakan bakat mengurut yang dipelajari bagi menjadi ahli terapi,” katanya.

Selain mengadakan kursus kepada pelajar, Teratak Spa turut menerima kunjungan lawatan termasuk dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Lawatan membabitkan lapan pelajar Program Pendidikan Khas Bermasalah Pelajaran itu turut memberi peluang kepada mereka menimba ilmu urutan aromaterapi berasaskan bahan semula jadi dan herba.

Guru Cemerlang Pendidikan Khas sekolah berkenaan KA Razhiyah KA Mohammed berkata, pelajar terbabit antara yang mengikuti kursus kemahiran rawatan spa di sekolah.

Kursus yang ditawarkan sejak 2009 itu bertujuan mengasah bakat dan memupuk minat pelajar supaya mereka dapat menceburkan diri dalam bidang terbabit selepas tamat persekolahan.

“Pelajar terbabit turut aktif dalam program atau karnival yang dianjurkan pelbagai pihak di sekitar Kota Bharu dengan kerjasama pihak sekolah bagi mendedahkan kebolehan mereka.

“Ia satu kaedah yang baik terutama dari segi interaksi sosial serta praktikal, malah membantu keupayaan mereka termasuk disiplin,” katanya.

Selain itu, Razhiyah berkata, ramai bekas pelajar sekolah itu kini terbabit dengan alam pekerjaan selepas membina keyakinan diri melalui program terbabit di sekolah.

“Kami faham dengan tahap keupayaan mereka dan walaupun tidak bekerja dalam bidang berkaitan, mereka berjaya membuktikan kebolehan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMK Panji, Ain Izati Abdul Ghani, 17, berkata lawatan sepanjang hari ke pusat spa berkenaan memberikan pendedahan mengenai dunia sebenar spa.

Dia mengakui tertarik dengan susun atur dekorasi dalaman dan luaran Teratak Spa yang mendamaikan dan mampu mengubah mood pengunjung. Mereka juga rasa bertuah kerana turut menerima perkhidmatan urutan kaki aromaterapi yang menggunakan bahan semula jadi termasuk bunga ros sebagai terapi mudah.

“Kami diberi penerangan mengenai cara mengendalikan campuran air suam dan panas serta bahan terbabit supaya tidak mendatangkan kecederaan.

“Saya tidak mampu membuka sebuah pusat spa, tetapi akan bersedia membantu jika jiran atau kenalan di kampung inginkan rawatan,” katanya yang berasal dari Kedai Lalat, Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:02 AM