FOTO ihsan Bernas
FOTO ihsan Bernas
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lebih daripada 50 makanan berasaskan beras yang disediakan cef terbaik 10 negara ASEAN bakal dihidangkan kepada para isteri ketua-ketua negara ASEAN Sabtu ini.

Ia akan dihidangkan dalam Pesta Makanan ASEAN yang julung kali diadakan di sebuah hotel di sini, yang bertemakan ‘Beras Yang Mengikat Kita’ yang akan menonjolkan kekayaan kulinari ASEAN.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi hos kepada isteri-isteri ketua negara ASEAN itu yang pesta tersebut diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan hujung minggu ini.

Setiausaha Rendah (Bahagian Hubungan Antarabangsa) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Noorazah Omar berkata, beras merupakan makanan utama ASEAN, antara elemen penting yang menyatukan negara anggotanya.

“Kami sedang membina komuniti ASEAN menerusi makanan,” katanya.

Noorazah berkata, 10 buah gerai akan diadakan untuk para cef ASEAN menyediakan sekurang-kurangnya lima makanan tradisional dan asli negara masing-masing beserta pencuci mulut pada pesta tersebut.

“Ia merupakan peluang kepada para tetamu untuk lebih mempelajari mengenai kebudyaan ASEAN menerusi makanan selain berpeluang merasainya,” jelasnya.

Malaysia akan mempamer lemang, ketupat palas, rendang, serunding, nasi kerabu, nasi tumpang, soto ayam, tapai pulut, kuih seri muka, pulut udang dan pulut sambal, tambahnya.

Noorazah berkata, cef selebriti ASEAN pula akan mengdakan demonstrasi secara langsung di atas pentas dan para tetamu kemudiannya berpeluang merasai makanan tersebut.

Beliau berkata, sebuah panel kemudiannya akan memilih satu jenis makanan daripada setiap negara ASEAN untuk dihidangkan semasa majlis makan tengah hari untuk isteri-isteri ketua negara ASEAN.

Akan turut diadakan ialah pertunjukkan kebudayaan yang bakal menggambarkan semangat ASEAN oleh kumpulan negara serantau itu serta PERMATA Seni Koir dan Tari semasa majlis makan tersebut, katanya.

Kira-kira 150 tetamu dijangka menghadiri pesta makanan tersebut yang bakal turut disertai isteri-isteri rakan dialog ASEAN, isteri-isteri Menteri Luar ASEAN dan para tetamu lain. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 4:53 PM