TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri) menyaksikan perjanjian antara Malaysia dan Amerika Syarikat dalam kerjasama membanteras jenayah berat. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia kini semakin hampir untuk menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) selepas kedua-dua negara hari ini menandatangani perjanjian meningkatkan kerjasama dalam pencegahan dan pembanterasan Jenayah Berat (PCSC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian antara Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Duta Amerika ke Malaysia Joseph Yun.

Ahmad Zahid berkata, perjanjian PCSC merupakan satu daripada dua dokumen penting sebagai tambahan kepada Aturan Arahan Presiden Keselamatan Negara No. 6 (HSPD-6) yang merupakan prasyarat penting bagi penyertaan Malaysia ke dalam US VWP.

“Perjanjian ini amat penting kerana dengan HSPD-6 dan PCSC ini ditandatangani sepenuhnya, maka muktamadlah dua syarat yang ditentukan dalam senarai semakan oleh pihak Amerika.

“Tindakan susulan yang kita lakukan adalah dalam menentukan bahawa semua maklumat yang kita kongsi bersama tidak merupakan satu perjanjian yang berat sebelah atau untungkan suatu pihak sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Ahmad Zahid berkata, HSPD-6 membolehkan pertukaran maklumat biografi pengganas yang diketahui dan disyaki manakala PCSC memfokuskan kepada kerjasama dalam pengesanan, pencegahan dan penyiasatan jenayah berat dengan lebih berkesan.

"Hasil daripada perjanjian ini, apa yang kita akan lakukan antaranya kita akan memperoleh sebanyak 1.2 juta cap jari melalui data biometrik.

"Data ini akan digunakan sepenuhnya oleh PDRM dalam meneliti senarai syak yang dikemukakan oleh mereka (Amerika) bagi menentukan pengganas atau yang disyaki pengganas yang berada dalam negara dan juga pengganas asing yang dijangka menggunakan Malaysia sebagai transit," katanya.

Ahmad Zahid dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Senator John Kerry telah menandatangani susunan HSPD-6 pada 8 Okt di Washington.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini, 38 negara telah mengambil bahagian dalam US VWP termasuk dua negara anggota ASEAN iaitu Singapura dan Brunei.

Beliau berkata Malaysia juga dalam proses memenuhi syarat-syarat lain berkaitan kemasukan dalam US VWP.

Sementara itu, Yun berkata, penyertaan Malaysia dalam US VWP akan dimuktamadkan tidak lama lagi selepas kemajuan yang menakjubkan dalam tempoh 12 bulan lalu.

"Dalam pengalaman saya, kami telah mencapai kemajuan pantas dalam program pengecualian visa oleh mana-mana negara yang dikaitkan dengan saya," katanya.

US VWP membolehkan rakyat Malaysia melawat Amerika Syarikat tanpa visa selama 90 hari untuk tujuan pelancongan dan perniagaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 4:55 PM