FATTAH dan Ruhainies bersama peminat mereka daripada kelab peminat masing-masing.
FATTAH dan Ruhainies bersama peminat mereka daripada kelab peminat masing-masing.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Drama adaptasi novel Hello Mr. Perfect yang ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia ini melabuhkan tirainya Selasa lalu.

Drama terbitan A Aida Production Sdn Bhd itu menampilkan pelakon seperti Fattah Amin, Ruhainies, Fiza Halim, Ezzaty Abdullah, Afzan Rahman dan ramai lagi.

Sebagai menghargai sokongan peminat sepanjang drama itu ditayangkan, 30 peminat bertuah dipilih bagi menghadiri tayangan eksklusif episod akhir diadakan bertempat di Pitching Centre, Platinum Sentral dekat KL Sentral, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Fattah yang melakonkan watak Izzul berkata, acara itu inisiatif daripada pihak pengurusannya My Fastyle dengan kerjasama kelab peminat Ruhainies iaitu RuhainiesHeartFans.

“Lebih 100 tetamu hadir dan 30 daripadanya peminat bertuah terdiri daripada pemenang peraduan yang diadakan di laman Instagram.

“Ia membabitkan 15 pemenang dari kelab peminat saya The FA Team dan 15 lagi dari kelab peminat Ruhainies. Selebihnya rakan penaja, teman rapat dan kaum keluarga,” katanya.

Tambah Fattah, lokasi tempat tertutup dipilih bagi memberi keselesaan kepada peminat untuk beramah mesra dengan barisan pelakon terbabit.

“Kami tak nak buat di tempat terbuka sebab nanti susah nak kawal. Apabila diadakan di tempat tertutup dan kita hadkan penyertaan, ia lebih mudah.

Kami juga dapat beramah mesra bersama peminat dengan lebih tenang dan selesa,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan penonton terhadap drama itu, Fattah berkata, dia menerima pelbagai maklum balas positif dan juga negatif.

“Tak dinafikan ada yang suka begitu juga sebaliknya. Bagi yang tak suka, banyak faktor antaranya jalan cerita tak sama seperti dalam novel, pemilihan pelakon dan banyak lagi. Tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan jumlah tontonan pada setiap episod meningkat.

“Buktinya, tayangan episod akhir menjadi ‘trending’ di laman Twitter. Ia menunjukkan dalam pada ada yang mengkritik, mereka sebenarnya nak menonton sehingga penghujung cerita,” katanya.

Sebagai pelakon, menurut Fattah dia sudah lakukan sehabis baik mengikut tuntutan watak dan pengarah.

Bagi Ruhainies, 23, melakonkan tiga watak berbeza bukannya mudah. Hasil lakonannya itu ternyata mengundang pelbagai kritikan, malah ada yang mengatakannnya heroin kayu.

“Saya terima setiap komen dan kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri. Sebagai orang baru, itu adalah proses pembelajaran untuk saya.

“Saya bersyukur apabila dipilih oleh pihak stesen TV bagi menjayakan watak ini. Saya cukup bertuah juga kerana diberi peluang beraksi dalam slot Akasia yang menjadi impian setiap pelakon,” katanya.

Dia juga tidak bimbang sekiranya kritikan me­ngenai kualiti lakonannya mempengaruhi syarikat produksi dan stesen TV untuk terus bekerjasama dengannya.

“Saya tak rasa ia memberi kesan kepada masa depan kerjaya saya. Sebabnya mereka tahu saya pelakon baru dan bakat itu masih boleh diasah.

“Jika diberi peluang lain, saya pasti boleh lakukan yang terbaik. Paling penting, saya tetap percaya kepada rezeki,” katanya.

Terbaru mengenai kerjaya lakonannya, Ruhainies bakal membintangi telefilem Potret Adik yang memulakan penggambaran pada 26 November ini bagi slot Cerekarama di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:01 AM