GABUNGAN suara dua insan berbakat ini menjanjikan sesuatu yang menarik.
Oleh Nor Akmar Samudin


Dua anak seni yang memiliki vokal lunak ini saling memuji dan mengkagumi antara satu sama lain.

Pernah mengadakan persembahan bersama, namum belum ada projek khas yang benar-benar mempertemukan dua insan berbakat besar ini.

Lantaran itu apabila stesen radio Hot FM mahu mencarikan gandingan Dayang Nurfaizah untuk menjayakan projek Pentas Hot FM Mash Up, mereka bertanya kepadanya siapa artis pilihan untuk bergandingan dengannya, lantas nama Najwa Mahiaddin yang disebutnya.

Mash Up mula bersiaran secara eksklusif pada 24 April lalu dimulakan dengan gabungan dua lagu daripada Akim & Stacy diikuti Awi Rafael & Altimet, Amir Johari & Raihan, Ronnie & Black dan Ella & Bunkface.

Bertemu dengan Dayang di studio rakaman milik pemain gitar Hujan, AG baru-baru ini, Dayang berkata, dia pernah berkongsi pentas dengan Najwa ketika mereka berdua memenuhi undangan penganjur untuk memeriahkan pelancaran satu produk, Julai lalu.

“Pada majlis itu, saya dan Najwa berduet menyanyikan lagu The Jackson 5, I’ll Be There dan Treasure nyanyian Bruno Mars. Saya rasa puas dapat menyanyi dengan Najwa yang sudah lama saya menantikan peluang itu.

“Pastinya projek ini sangat istimewa kerana menggabungkan dua suara, dua ‘feel’ yang berbeza dan rentak lagu berlainan.

“Selagi tidak masuk ke studio, saya tidak dapat gambarkan macam mana nak serasikan gabungan lagu itu. Saya amat menyukai lagu Najwa, Impian Terindah,” katanya.

Atas rasa minat yang mendalam serta ingin memberi sokongan kepada rakan artis, beberapa tahun lalu, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty sanggup meluangkan masa menyaksikan persembahan Najwa di Alexis.

“Saya rasakan muzik Najwa sangat sedap, sesuai de–ngan suaranya yang unik dan ‘smooth’. Penyanyi sepertinya ada peminat dan pengikut tersendiri terutama kepada mereka yang mahukan kelainan dalam irama muzik.

“Najwa sangat jelas dengan muzik yang dibawanya dan jika ada persetujuan di pihak Najwa saya memasang impian untuk merakamkan lagu duet dengannya, “ katanya.

Dayang baru saja muncul dengan single terbaru berjudul Tak Pernah Menyerah.

Dalam projek itu, daripada enam lagu akan dijadikan tiga lagu iaitu, Di Pintu Syurga (Dayang) /Impian Terindah (Najwa), Sama Saja (Najwa)/Tak Pernah Menyerah (Dayang) dan Got To Go (Najwa)/Dayang Sayang Kamu (Dayang).

AG diberi tanggungjawab sebagai penyusun lagu itu.

Dendangan mereka menerusi lagu itu boleh mula didengar pada 27 November ini mulai jam 7.30 pagi hingga 9 pagi. Pada hari itu, Dayang dan Najwa dijemput ke studio untuk ditemu bual.

Selain itu pendengar juga boleh melayari laman YouTube rasmi Hot FM untuk menonton klip video Mash Up Hot FM gandingan dua artis hebat ini.

Najwa mahu cipta lagu untuk Dayang

Seperti juga Dayang, Najwa turut teruja apabila dimaklumkan akan berganding suara dan lagu dengan Dayang.

Atas sebab itu, dia terus bersetuju apabila ditawarkan menyertai projek ini.

“Sebelum ini, pengurus Dayang pernah mencadang–kan kami berdua ‘jamming’ dan kemudian memuat naik videonya di YouTube. Kalau ada rezeki, saya tak tolak dan mungkin saya juga boleh ciptakan lagu untuk Dayang,” katanya yang juga seorang komposer.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 29 tahun ini baru melancarkan single terbarunya berjudul Sama Saja dan turut menyiapkan penggambaran klip video lagu itu.

Najwa turut mengajak rakan dan peminat bersama-sama menjayakan penggambaran klip video itu yang dijemput menerusi e-mel.

“Saya mahu ‘dekat’ dengan mereka dengan memberikan sentuhan peribadi dalam pembikinan klip video itu,” katanya.

Bekas graduan muzik Kolej Muzik Berklee, Boston, Amerika Syarikat (AS) ini berkata, dia selesa mencipta lagu dalam bahasa Inggeris seperti dua albumnya sebelum ini iaitu Innocent Soul dan Aurora.

“Ada juga yang bertanya bila saya nak terbitkan album bahasa Melayu. Buat masa sekarang saya keluarkan single dulu dan lagu yang ada mesej. Album Inggeris saya terbitkan sendiri, tetapi untuk lagu Melayu saya perlukan bantuan penulis lirik lain kerana kesukaran menulis lirik dalam bahasa itu kerana saya lebih kerap menulis lagu dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Dia yang begitu memahami kemahuan hatinya dalam bidang muzik tidak bercadang melebarkan sayapnya di luar negara seperti AS kerana banyak lagi yang perlu dilakukannya di negara sendiri.

“Pergi ke luar negara untuk membina tapak tidak semudah disangka, malah apabila berada di sana untuk berjumpa dengan penyanyinya pun susah. Ukuran kejayaan pada setiap orang berbeza dan saya selesa dan senang berkarya di negara sendiri.

“Barangkali saya juga sudah berkeluarga jadi lebih selesa tinggal dan berkarya di tanah air sendiri. Kalau ada peluang bawa karya ke luar negara nanti, saya tetap berada di di sini ,” katanya.

Dia yang baru tujuh bulan mendirikan rumah

tangga dengan Idris Koh Keng Hui sedang menikmati detik indah alam rumah tangga.

“Alhamdulillah, kami berkongsi minat sama dalam bidang muzik kerana kami berkenalan melalui muzik dan mempunyai kelompok rakan yang sama juga. Pun begitu seperti rumah tangga orang lain adalah juga ‘asam garamnya’, tiada yang terlalu sempurna. Soal anak, jika ada rezeki kami berdua terima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:03 AM