SORAKAN pembakar semangat sebelum merasai pengalaman meluncur udara.
Oleh Ashraf Shuib


Tidak mampu melihat tak menghalang sekumpulan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan melakukan aktiviti ekstrem seperti sukan luncur udara atau paragliding.

Menurut Naib Presiden Kelab Luncur Udara Kinabalu (KLUK) Mejar Haznain Ngamil, pada mulanya, beliau dihubungi seorang yang hanya memperkenalkan diri sebagai Johari dari Tuaran, Sabah, bertanyakan kos dikenakan untuk meluncur di udara.

“Johari memaklumkan dia dan rakannya OKU cacat penglihatan tapi ingin merasai pengalaman terbang di udara.

“Saya kemudian berbincang dengan ahli KLUK terutama jurupandu luncur udara untuk mengadakan penerbangan ihsan buat mereka.

“Jurupandu bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran penerbangan kepada OKU terbabit.

“Wang hasil penerbangan luncur udara komersial yang diadakan pada hari sama akan digunakan untuk menyumbang kos luncur udara OKU serta pengangkutan mereka dari Tuaran ke Ranau,” katanya.

Program dinamakan ‘Vision With No Boundaries’ itu membabitkan 12 OKU lelaki dan seorang wanita di Pusat Paragliding Sabah, Lohan, Ranau.

Seramai tiga jurupandu dari Sabah dan dua dari Kuala Lumpur serta seorang jurupandu Singapura dijemput bagi merealisasikan impian kumpulan berkenaan.

“Untuk berlepas, mereka hanya perlu berada di tempat duduk dan diangkat serta ditarik oleh pembantu yang terdiri daripada 15 peluncur udara yang turut memberi sokongan.

“Ternyata mereka sangat gembira dan teruja dengan peluang itu. Sebelum ini, kami pernah menerbangkan orang lumpuh dan mereka yang mengalami kekejangan,” tambahnya.

Selepas kumpulan OKU menikmati luncuran udara, mereka menyanyi sambil bermain gitar untuk menghiburkan jurupandu serta peluncur udara dan pengunjung lain.

Berikutan itu, KLUK bercadang mengadakan program sama pada masa akan datang dengan lebih besar bagi mengutip dana untuk pusat OKU.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:04 AM