ACKBAL bergambar bersama pegawai dan anggota yang terbabit dalam Eksesais Paradise 2/2015 di PU Labuan.
Teks dan foto Mohd Razlan Salleh

Labuan: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menempatkan satu skuadron tempur secara tetap di Pangkalan Udara (PU) Labuan, selewat-lewatnya suku pertama tahun depan bagi memantapkan pertahanan di Wilayah Laut Dua.

Panglima Operasi Udara Leftenan Jenaral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, aset tempur sudah diatur gerak di PU Labuan, namun operasi dilakukan anggota secara bergilir.

"Antara aset yang ditempatkan di sini termasuklah empat helikopter EC725 dan pesawat pejuang jenis Hawk.

"Sementara dua helikopter Nuri pula beroperasi di Sandakan dan Tawau," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Eksesais Paradise 2/2015 di PU Labuan, di sini, sebentar tadi.

Ackbal berkata, TUDM akan mengkoordinasikan anggota tetap bagi memudahkan sebarang operasi di wilayah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 12:48 PM