Alwi (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan surat daripada Mustafa kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prestariang Berhad, Dr.Abu Hassan Ismail ketika majlis Penyerahan Surat Persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri kepada Syarikat Prestariang Berhad dan turut sama Pengerusi Prestariang, Datuk Mohamed Yunus Ramli Abbas (kanan) di Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Gambar Ahmad Irham Mohd Noor

Putrajaya: Jabatan Imigresen akan memasang Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) di semua pintu masuk dan sempadan negara serta pejabat atase luar negara untuk meningkatkan aspek keselamatan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, satu daripada fungsi SKIN adalah menyokong perjanjian pencegahan dan pembanterasan Jenayah Berat (PCSC) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), semalam.

"Sistem itu dijangka dapat beroperasi awal tahun depan selepas semua aspek teknikal dapat diselesaikan.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjayakan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan seperti Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP)... ia adalah pelengkap antara satu sama lain untuk memantapkan sistem di Jabatan Imigresen,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Menandatangani dan Penyerahan Surat Persetujuan Pelaksanaan Sistem Teras dan Aplikasi Imigresen dikenali sebagai SKIN daripada KDN kepada Pestariang Berhad (Pestariang) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, dokumen ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim manakala Pestariang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dr Abu Hasan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 3:15 PM