KINI bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru menerusi rekaan khas.
GAYA dekorasi unik sebagai pasu hiasan.
PERMINTAAN produk kraf kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.
LABU sayong diketengahkan dalam pelbagai warna dan motif unik.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sejak ribuan tahun lalu tanah liat mewarnai kehidupan manusia sebagai barang keperluan asas dan dijadikan bekas penyimpanan, memasak dan meletakkan makanan atau minuman.

Mukim Sayong, Kuala Kangsar, Perak pula menyimpan pelbagai cerita mengenai perusahaan labu sayong.

Sebuah monumen labu sayong gergasi didirikan di tengah bandar, sekali gus menjadi identiti Kuala Kangsar.

Sayong atau nama asalnya ‘Sai Ong’ merangkumi lima lembah utama iaitu Sayong Lembah, Sayong Tengah, Sayong Tebing, Sayong Hulu merentasi Sungai Perak ke Kota Lama Kanan.

Menurut penduduk tempatan, ‘Sai Ong’ sebenarnya turut dikatakan sebagai sayong berikutan pedagang dari China menerokai Sungai Perak.

Sejenis tembikar atau seramik yang sama bentuk dan fungsinya mula dikenali sebagai labu iaitu bekas air berbentuk buah labu dihasilkan.

Perkataan itu disebabkan produk berkenaan berasal dari Sayong dan seramik berbentuk labu pula dipanggil labu sayong.

Kreativiti dan idea dekoratif yang makin berkembang menyebabkan wujudnya perusahaan seramik secara komersial di Lembah Sayong.

Labu yang dihasilkan asalnya hitam dan berfungsi untuk mengisi air kini berubah wajah kepada pelbagai bentuk.

Pada masa sama pengusaha seni ini yang terdiri daripada generasi ketiga kreatif menghasilkan seramik aneka fungsi dengan penggunaan bahan dan teknik baru.

Kebanyakan bentuk labu sayong dihasilkan dengan menerapkan motif alam sekitar seperti bunga padi, bunga cengkih, pucuk rebung dan geometri.

Kini fungsi utama labu ini bukan sekadar hiasan di dapur, malah menghiasi taman atau laman.

Bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru menerusi rekaan khas.

Ia mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan bekas telur sebagai cenderahati pada majlis perkahwinan.

Bekas ini dibentuk dan diukir dengan teliti menggunakan motif ukiran tradisional seperti bunga tanjung, daun buluh serta senduduk.

Produk yang dihasilkan ditambah nilai bahan raku, hiasan permukaan yang dipelbagaikan dan kelihatan juga saiznya yang berbeza-beza.

Ini membuktikan peredaran waktu bukan saja mengubah bentuk, malah mengubah seni dan fungsi dengan bantuan teknologi baru.

Dari sehari ke sehari teknologi menemukan manusia dengan pelbagai bahan baru yang lebih baik dan tahan lama untuk digunakan sebagai bekas penyimpanan atau masakan.

Bagaimanapun, bahan tanah liat itu masih ada peminatnya lantaran menghargai nilai estetika yang diketengahkan.

Kini, hasil tanah liat ini mula meneroka segmen baru iaitu di bidang seni hiasan.

Permintaan produk kraf seramik makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini.

Banyak rekaan baru dihasilkan sesuai mengikut gaya hidup masa kini.

Dalam kerancakan permintaan produk hiasan lain, kraf seramik tidak ketinggalan turut bersaing sebagai pelengkap untuk kegunaan harian dan perhiasan.

Ada tiga jenis tanah liat yang sering digunakan iaitu ‘earthenware,’ ‘stoneware’ dan porselin.

Tanah porselin berbeza daripada tanah ‘earthenware’ dan ‘stoneware’ kerana mampu memberikan warna putih lebih asli.

Selain itu, ia mempunyai lebih kekuatan jasad selepas melalui proses vitrifikasi pada suhu yang tinggi.

Dalam menghasilkan produk kraf porselin, tanah yang sudah direka, dibentuk dan dibakar dengan suhu 900 darjah Celsius selama lapan jam.

Seterusnya diikuti pula dengan pembakaran ‘glaze’ dengan suhu 1,200 darjah Celsius selama 12 jam.

Akhir sekali pembakar menggunaan teknik celupan atau decal pada suhu 780 darjah Celsius selama tiga jam.

Selain menghasilkan warna putih yang asli, produk kraf porselin ini juga boleh mengeluarkan atau memantulkan cahaya.

Justeru, antara produk hiasan yang sesuai ialah lampu tidur dengan idea rekaan menarik.

Malah, set teko dan pinggan mangkuk, pasu atau bekas bunga juga tidak kurang menariknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:04 AM