Oleh Syafil Syazwan Jefri


Sejak menyertai program Gegar Vaganza 2 (GV2), Nizam Laksamana mengakui kehidupannya mula berubah.

Paling ketara dia mula dikenali semula sejak meninggalkan kumpulan Laksamana yang popular dengan lagu Gugurnya Bunga Cinta pada 1991.

“Sebelum ini saya sama seperti orang lain. Menjalani kehidupan seperti orang biasa dan sebagai suami dan bapa. Tiada siapa yang mengenali saya.

“Bagaimanapun, sejak GV 2 ramai yang mula menegur. Kadang-kadang ketika mengisi petrol di stesen minyak, ada yang mula menegur dan mengenali saya,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan sendiri.

Nizam juga bersyukur kerana kerjaya seninya mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama anak yang turut punya minat mendalam dalam bidang muzik.

“Anak-anak ada yang mula menunjukkan minat dalam muzik. Saya tidak akan menghalang minat mereka, tetapi paling penting adalah pelajaran,” kata bapa kepada empat anak ini.

Apa yang pasti, ramai yang terpegun dengan vokal Nizam ketika menyampaikan lagu Misteri Mimpi Syakila nyanyian asal Wings di pentas GV2, minggu lalu.

“Dari segi fizikal, saya memang ‘hancur’ berbanding penyanyi lain, yang ada hanyalah suara kurniaan Allah SWT. Jadi, saya memang benar-benar menjaga suara dan belajar daripada pengalaman,” katanya.

Walaupun banyak mendapat lagu lama sepanjang GV 2 ini, Nizam tidak menolak untuk mencuba lagu baru dan bersesuaian dengan generasi masa kini.

“Saya ada senaraikan beberapa lagu baru untuk dipersembahkan. Bagaimanapun, selepas sesi perbincangan selalunya lagu yang terpilih untuk dipersembahkan adalah lagu lama.

“Saya sangat mengagumi penyanyi baru seperti Hazama, Akim Ahmad dan Hafiz Suip. Vokal mereka mempunyai keunikan tersendiri dan saya memang tertarik dengan lagu nyanyian mereka,” katanya.

Nizam berkata, aliran muzik yang dibawa penyanyi generasi baru ini mudah dan mampu diterima dengan baik.

Masih lepak bersama Laksamana

Walaupun sudah tidak bersama Laksamana, Nizam masih berhubung dengan bekas ahlinya dan sekali-sekala mereka bersama-sama bermain muzik dan ‘jamming’.

“Kami semua masih bertemu dan sering meluangkan masa bersama untuk sesi jamming dan aktiviti lain,” katanya.

Laksamana yang ditubuhkan pada lewat 1980-an pernah menghasilkan dua album iaitu Syukur pada 1991 dan Resah setahun selepas itu.

Lagu Gugurnya Bunga Cinta daripada album sulung membuatkan kumpulan itu dikenali hingga hari ini.

Ditanya mengenai persediaannya untuk konsert minggu keenam malam esok, Nizam memaklumkan dia banyak melakukan latihan dan memperbaiki kelemahannya.

“Selain melakukan latihan secara lebih agresif, saya juga mengambil segala kritikan juri untuk memperbaiki kelemahan ketika berada di pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:06 AM