Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penyanyi, Sean Ghazi akan membuat persembahan di hadapan ketua negara ASEAN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 malam ini.

Sean ketika dihubungi berkata dia cukup teruja dan berbesar hati terpilih menjayakan persembahan pada persidangan penting itu.

“Menjadi satu penghargaan apabila saya dapat mewakili Malaysia dan membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri serta pemimpin negara lain kerana peluang ini tidak selalu hadir,” katanya.

Ditanya mengenai konsep persembahan, Sean atau nama sebenarnya Sean William Ghazi, 46, memaklumkan dia akan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

“Saya akan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan yang diketuai Mustafa Fuzer Nawi dan susunan muzik oleh Aubrey Suwito.

“Apa yang boleh saya janjikan, persembahan pada malam ini penuh bertenaga dan menghiburkan di samping pelbagai gabungan beberapa lagu patriotik klasik mewakili negara ASEAN.

“Secara keseluruhan, persembahan pada malam ini akan mempamerkan kepelbagaian muzik Malaysia dan negara ASEAN lain,” katanya.

Penyanyi lain

Tidak berseorangan, Sean mendedahkan turut ditemani beberapa penyanyi popular pada malam ini.

“Saya akan berduet dengan Stephen Rahman Hughes, bergandingan dengan Nadia Aqila, membuat persembahaan secara berkumpulan dan menyampaikan sebuah lagu solo, Down Under yang mewakili Australia,” katanya.

Selain persembahan Sean, delegasi ASEAN akan turut dihiburkan dengan persembahan Atilia, Peter Ong, Shanelle, Aisyah Aziz, Aliff Satar dan Magen.

Selain itu, kumpulan Koir Kebangsaan dan Koir Permata Seni yang diketuai Syafinaz Selamat juga turut diundang menjayakan persembahan.

Mengulas perkembangan terkini, Sean berkata dia akan kembali aktif di persada seni tanah air.

“Sejak pulang dari Amerika Syarikat pada Mac lalu, saya tak sabar meneruskan karier nyanyian di sini. Setakat ini ramai menyambut baik hasrat saya itu dan nantikanlah sesuatu yang istimewa daripada saya,” katanya.

Pada Jun lalu, Sean dengan bekerjasama Mercy Malaysia mengadakan konsert amal Wonderful Tonight sempena memperingati mangsa bencana alam di Kelantan dan Nepal.

Dia juga rancak memenuhi undangan persembahan majlis korporat, makan malam dan turut terbabit dengan beberapa pementasan teater.

Selain itu, penyanyi yang pernah membintangi filem Anna and the King ini juga sudah merakamkan single duet bersama penyanyi jazz, Ida Mariana berjudul Kebaya Jazz.

“Saya harap, single ini dan video muziknya dapat dilancarkan awal tahun depan. Sekiranya album sebelum ini, Semalam mencuri perhatian peminat, saya yakin mereka pasti jatuh hati dengan Semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:07 AM