Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Baru tiga bulan memasuki alam perkahwinan, Wafa, 30, sudah tidak tahan dengan perangai suami yang dirasakan sangat berbeza dengan keadaan sebelum mereka berkahwin.

Sebelum berkahwin suaminya seorang yang sopan, tidak pernah meninggikan suara serta rendah diri. Berlainan apabila mereka telah berkahwin kerana semuanya berubah sekelip mata.

Paling mengejutkan, suaminya sering bercakap, ketawa dan menangis sendiri malah paling teruk pernah cuba membunuhnya. Wafa merasakan keadaannya semakin tidak selamat serta terancam.

Tidak mahu terus hidup dalam tanda tanya, Wafa menghubungi keluarga mentua untuk mengetahui cerita di sebalik kelakuan pelik suaminya.

Dengan berat hati, mereka bercerita suami Wafa menghidap skizofrenia kronik dan tidak pernah mendapatkan rawatan moden sebaliknya hanya menggunakan kaedah tradisional. Terkejut dengan kenyataan itu, Wafa tekad menuntut cerai kerana sering hidup dalam ketakutan selain rasa terancam dengan perbuatan si suami.

Menurut Konsultan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Selayang, Dr Toh Chin Lee, skizofrenia adalah penyakit kronik berpunca daripada kegagalan fungsi otak.

“Pesakit skizofrenia biasanya mendengar suara yang tidak didengari orang lain atau mempercayai orang lain sedang menguasai pemikiran mereka atau mencederakan mereka. Berbanding manusia normal, pesakit skizofrenia bercakap perkara yang tidak masuk akal.

“Pesakit mendiamkan diri atau terlalu banyak bercakap dan kelihatan normal sehinggalah apabila mereka memperkatakan sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya ketika ditemui pada bengkel Orang Gila atau Skizofrenia di ibu negara, baru-baru ini.

Perkataan skizofrenia wujud beratus tahun dulu. Namun, penyakit ini kali pertama dijumpai dan dikenali sebagai penyakit mental yang dikesan Dr Emile Kraepelin pada 1887. Ada penulisan mengatakan skizofrenia dikesan sejak zaman Firaun lagi iaitu Sebelum Masihi.

Katanya lagi, penghidap akan berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua kriteria gejala iaitu gejala positif seperti delusi dan halusinasi.

Pesakit juga mengalami gejala negatif seperti kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal selain pertuturan dan tingkah laku tidak teratur.

“Di samping itu, penghidap juga akan berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah secara tiba-tiba tanpa sebab.

Ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan kerana keluarga tidak sedar perubahan tingkah laku yang dialami pesakit dan situasi yang paling kerap berlaku.

“Pesakit lazimnya akan dibawa berubat secara tradisional dan percaya dirasuk makhluk halus. Tanggapan seperti ini menyebabkan rawatan yang dijalankan tidak menjadi dan mereka terus dibiarkan sehinggalah keadaan tidak terkawal,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Hazli Zakaria, berkata dianggarkan 54 peratus daripada pesakit psikiatri mempunyai sekurang-kurangnya satu hubungan dengan penyembuh tradisional sebelum berunding dengan perkhidmatan psikiatri.

Beliau berkata, keadaan ini menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat di negara membangun juga memilih mereka sebagai pilihan utama.

Katanya, perkara berkenaan bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di negara lain antaranya Indonesia, India, China, Korea dan Filipina.

“Punca gangguan mental yang ditunjukkan pengamal perubatan tradisional seperti ilmu hitam atau gangguan roh jahat. Kebergantungan ini tidak boleh disalahkan kerana keadaan keluarga yang terlalu terdesak untuk memulihkan pesakit.

“Sebenarnya skizofrenia boleh disembuhkan dengan syarat ia dirawat dengan segera. Jika ada keturunan atau sejarah keluarga segera dapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Pesakit mental skizofrenia boleh diibaratkan seperti hidup dalam dunia sendiri. Mereka tidak lagi kenal realiti hidup.

Bukan saja pesakit yang sengsara, bahkan semua ahli keluarga, terutama ayah dan ibu, turut cemas dan tidak dapat tidur selesa kerana memikir tingkah laku anak mereka.

Penyakit skizofrenia kerap menyerang golongan muda dan tiada perbezaan ketara mengenai kadar berlakunya penyakit ini pada golongan wanita mahupun lelaki.

Apakah tanda-tanda skizofrenia?

Tanda-tanda atau simptom penyakit skizofrenia adalah banyak dan kompleks. Tanda-tanda penyakit ini boleh dibahagikan kepada beberapa tanda penting:

Tanda positif

Psikosis

Psikosis adalah simptom penting skizofrenia. Pesakit yang mendapat psikosis boleh mengalami delusi (delusion) atau halusinasi (hallucination). Delusi adalah kepercayaan karut yang dipercayai dengan sangat kukuh oleh pesakit walaupun dipertikaikan atau diragui oleh orang lain. Kepercayaan karut ini tidak sejajar dengan budaya, agama, masyarakat, keadaan sosial sekeliling dan ilmu pengetahuan yang ada pada pesakit. Terdapat banyak jenis delusi. Contohnya:

- Delusi paranoid (paranoid or persecutory delusion): Mempercayai bahawa terdapat orang lain, kumpulan atau organisasi yang cuba untuk menganiaya, mencederakan, mendatangkan kemudaratan atau membunuh pesakit tersebut. Contohnya; percaya bahawa orang gaji telah memasukkan racun ke dalam makanan atau percaya majikan dan orang atas memasang perangkap untuk menjatuhkan maruah pesakit dan mengancam kedudukan jawatan pesakit.

- Delusi kawalan (delusion of control): Mempercayai bahawa perbuatan, kemahuan dan perasaan menjadi pasif dan hanya dikawal oleh kuasa dari luar tanpa kehendak diri sendiri. Contohnya; tangan pesakit menumbuk seseorang kerana dipaksa oleh kuasa lain tanpa kawalan dan kehendak dirinya sendiri, merasai makhluk telah masuk ke dalam badan dan memaksa membunuh anak.

- Delusi pelik (bizarre delusion): Mempercayai dengan kukuh sesuatu yang pelik. Contohnya; percaya bahawa malaikat telah datang menyerang bumi dan syaitan akan datang menyerang pula bumi setelah kematian jin.

- Delusi grandiose (grandiose delusion): Mempercayai bahawa dirinya mempunyai kelebihan tersendiri yang melampaui orang lain di dunia ini. Contohnya; percaya bahawa dirinya adalah nabi yang turun untuk menyelamatkan dunia ini, percaya dirinya boleh berkomunikasi dengan tuhan, percaya bahawa diri­nya boleh mencipta kenderaan untuk sampai ke bulan dengan sekelip mata, percaya bahawa dirinya raja memerintah dan banyak lagi.

- Delusi nihilistik (nihilistic delusion): Mempercayai bahawa diri sendiri atau sebahagian daripada tubuh badan sudah tidak wujud lagi atau mempercayai dunia sudah tidak wujud lagi. Contohnya percaya darah tidak mengalir lagi dalam tubuhnya.

- Delusi merujuk (delusion of reference); Mempercayai bahawa orang lain di sekeliling bercakap mengenai dirinya. Contonya; percaya bahawa jiran bersembang mengenai dirinya, percaya bahawa televisyen menyiarkan cerita mengenainya.

Tanda negatif

Simptom negatif skizofrenia lazimnya membabitkan fungsi dan aktiviti pesakit terjejas. Mereka yang mempunyai tanda ini bersikap malas, tidak mahu bercakap, tiada motivasi, tidak mahu bergerak atau membuat kerja malah seolah tidak mempunyai perasaan.

- Alogia (a-loj-ee-a) and poverty of speech: Bercakap dengan sedikit, pertuturan tidak mempunyai isi dan perkara penting serta mengambil masa yang lama menyambung perkataan dan ayat yang dituturkan.

- Flattening or blunting of affect: Terlalu kurang ekspresi muka. Mereka tidak senyum ketika gembira atau mengerutkan dahi ketika sedih. Mereka tiada hubungan emosi dengan orang yang bercakap dengannya, seolah anda bercakap dengan robot.

- Avolition and anhedonia: Hilang minat dan tenaga untuk melakukan perkara yang biasa mereka lakukan.

Gangguan emosi

Pesakit skizofrenia juga boleh mendapat kemurungan. Sejarah penyakit perlu tepat untuk mendapat diagnosis yang betul.

Emosi pesakit skizofrenia juga boleh bercelaru dan tidak sejajar dengan apa yang mereka fikirkan (the affect is not congruent to the thought). Contohnya: Fikiran pesakit penuh dengan kesedihan tetapi beliau menyanyi kegembiraan.

Kadar bunuh diri pesakit skizofrenia adalah tinggi (10 peratus). Ia boleh berlaku kerana mereka mempunyai kemurungan melampau dan psikosis yang menyuruh mereka membunuh diri.

Gangguan kognitif

Pesakit skizofrenia boleh mendapat gangguan kognitif yang menyebabkan mereka mempunyai IQ yang lebih rendah. Mereka tidak dapat membuat keputusan dengan baik, kurang tumpuan dan memori yang kurang baik.

Pesakit skizofrenia dikaitkan juga dengan ting­kah laku agresif. Tetapi perlu diingat pesakit skizofrenia bukan berbahaya daripada orang normal. Kadar jenayah keganasan dilakukan oleh mereka yang ketagih alkohol atau dadah, masalah personaliti dan mereka yang tidak mempunyai sakit mental berbanding kadar jenayah yang dilakukan oleh pesakit skizofrenia.

Sumber: Yayasan Kesihatan Mental Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:02 AM