X
AZZA bersama suami  Alif Ehsan pada majlis pernikahan mereka.
AZZA bersama suami Alif Ehsan pada majlis pernikahan mereka.
Oleh Norhayati Nordin


Lumrah hidup berumah tangga, semua pasangan suami isteri menginginkan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih yang dibina.

Begitu juga pelakon Azza atau Azariah Suaymi, 33, dan suami, Alif Ehsan A Rahim, 29, yang mendirikan rumah tangga pada 24 Mei lalu, dan bakal menimang cahaya mata sulung.

Azza kini hamil tiga bulan dan dijangka menimang cahaya mata sulung mereka sekitar Mei tahun depan. Demi menjaga kandungannya, Azza putuskan untuk berehat seketika daripada aktiviti lakonan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas dia terjatuh di lokasi penggambaran drama dibintangi ketika waktu rehat untuk menjamu selera.

“Selepas kejadian itu, saya tetap habiskan penggambaran drama terbabit. Namun, suami menasihatkan supaya saya berhenti berlakon seketika.

“Lagipun berlakon ketika hamil memenatkan dan saya sekarang lebih selesa berehat di rumah. Saya juga tidak gemar memandu sendiri ke lokasi,” katanya.

Masih lagi menerima tawaran berlakon, Azza tolak kerana faktor dirinya hamil. Malah katanya, dia tidak mahu menimbulkan masalah apabila di lokasi penggambaran nanti.

“Sekarang tempoh saya berehat. Tidak dinafikan, terasa terjejas daripada aspek pendapatan, tetapi demi anak dikandung, biarlah saya rehat seketika.

“Selepas bersalin dan habis pantang nanti, mungkin saya sedia untuk aktif semula dalam bidang lakonan yang sudah lama diceburi,” katanya.

Katanya, dia kini utamakan kandungan kerana ia cahaya mata sulung bersama suami ditambah pula usianya ketika hamil sudah lewat.

“Kalau saya masih berusia dalam lingkungan 20-an, mungkin boleh dipertimbangkan lagi di antara tuntutan karier dan rumah tangga.

“Apa pun, buat masa sekarang, suami, rumah tangga dan keluarga adalah keutamaan saya berbanding lakonan,” katanya.

Sebagai isteri hamil, Azza menerima pandangan dan nasihat suami secara positif terutama apabila ia membabitkan soal anak.

“Kehadiran zuriat yang dikandung pun tidak kami rancang tetapi jujur saya akui, kami sangat bersyukur dan teruja menunggu kelahirannya.

“Apatah lagi anak dikandung ini pun cucu pertama untuk keluarga saya manakala yang ketiga bagi keluarga sebelah suami,” katanya.

Berkongsi pengalaman kehamilannya, Azza berkata hingga kini masalah alahan dialaminya ialah loya dan tidak semua makanan boleh diterima.

“Sekarang, setiap hidangan yang nak dimakan saya perlu rasa lebih dahulu. Jika memenuhi cita rasa dan selera, baru boleh dimakan.

“Kalau tidak, biasanya saya akan loya dan memuntahkan makanan itu semula. Jadi, sekarang apa saja makanan selalunya suami lebih berselera,” katanya.

Kata Azza, meskipun dia yang hamil tetapi suami yang melalui proses mengidam manakala dia pula setakat ini belum lagi mengidam hendak makan apa-apa.

Bermula di pentas Akademi Fantasia musim pertama (AF1), nyata rezeki Azza lebih terarah dalam bidang lakonan. Sudah 12 tahun aktif dalam industri seni, Azza dikenali melalui telefilem Minah Lodeh Tipah Lepat di Astro termasuk melakonkan watak antagonis.

Katanya, dia sebenarnya berasa berat hati menolak tawaran berlakon dan berharap pihak produksi memahami situasi dirinya.

“Bukan tidak mahu langsung berlakon, tetapi dalam keadaan sekarang saya lebih selesa berehat. Walaupun ada kalanya bosan juga duduk di rumah.

“Apapun, enggan duduk tanpa buat apa-apa di rumah saya kini dalam proses perancangan membabitkan diri dalam bidang perniagaan.

“Saya juga berasakan takkan aktif berlakon sehingga usia tua. Ditambah pula apabila sudah ada anak nanti mana tahu saya mahu memberi sepenuh perhatian pada penjagaan cahaya mata.

“Jadi, wajar untuk saya membuat perancangan membabitkan diri dalam bidang perniagaan mulai sekarang. Apa perniagaan mahu dijalankan, biarlah rahsia dulu.

“Saya tidak mahu menguar-uarkan lebih dulu kerana bimbang tidak menjadi. Bagi saya, lebih baik mencuba dulu dan sampai masa akan diberitahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:07 AM