KEDAI emas yang disamun di Taman Desa Kenchana. FOTO Muhaizan Yahya.
KEDAI emas yang disamun di Taman Desa Kenchana. FOTO Muhaizan Yahya.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi menyamun kedai emas dan membawa lari barang kemas dianggarkan bernilai RM250,000.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi di Taman Desa Kenchana, Bercham, keempat-empat suspek memasuki kedai berkenaan sebelum seorang daripada mereka menghalakan pistol ke arah pemilik kedai.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Ipoh Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, tiga lagi suspek terus bertindak memecahkan cermin menyimpan barangan kemas menggunakan penukul besi sebelum melarikan barangan kemas.

Katanya, keempat-empat suspek kemudiannya melarikan diri menggunakan motosikal sebelum dua daripada mereka terbabit dalam kemalangan dengan kereta namun melarikan diri.

"Polis menemui kesan darah pada cermin di kedai emas dan menjumpai tukul besi dan topi keledar yang digunakan suspek ketika terjatuh selepas terbabit dalam kemalangan.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 4:55 PM