KENDERAAN tebabas sebelum langgar besi penghadang jalan. FOTO ihsan pembaca
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Dua beranak maut manakala tiga yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki keluarga itu hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang di bahagian kiri jalan di kilometer 280.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam, mangsa Mohamad Fadhir Ismail, 35, dan anak sulungnya Mohamad Adam Faris, 5, maut di tempat kejadian manakala isterinya Noorharzuin Halim,32; anak perempuan Noor Adalea Fatiha, 1, dan anak saudaranya Ummi Kalthum Tajuddin, 21, mengalami kecederaan.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shaharuddin Wan Omar berkata, kereta yang dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Gombak dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, dua beranak berkenaan maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian anggota badan.

"Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 11:22 AM