RAZAK (kanan, belakang) bersama barisan pelakon Chowrasta.
Oleh Michelle Gun


Mengangkat kisah benar kehidupan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, filem ke-38 pengarah terkenal Profesor Datuk A Razak Mohaideen, Chowrasta bakal menemui penonton di seluruh negara pada 3 Disember ini.

Penghasilan filem adaptasi daripada buku biografi Sahol berjudul Mencorak Destini ini juga buah tangan Razak untuk 600,000 alumni UiTM di seluruh negara.

Menariknya, filem terbitan bersama FiTA Studios Sdn Bhd dan Nation Film Studio Sdn Bhd itu menggabungkan empat genre berbeza iaitu komedi, Bol­lywood, aksi dan romantis.

Berlatarkan suasana Pulau Pinang pada zaman 60-an dan 70-an, Chowrasta mengisahkan perjuangan Sahol dalam memartabat­kan bangsa Melayu.

Filem itu turut menyaksikan babak manis beliau bertemu bakal isterinya, Puan Sri Haniza Abdul Hamid ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Institut Teknologi Mara (ITM).

Namun, disebabkan kemiskinan, beliau terpaksa melakukan kerja sambilan sehingga gagal dalam pengajian.

Chowrasta membariskan pelakon popular seperti Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Fauzi Nawawi dan Nur Risteena. Chowrasta turut memperkenalkan pelakon baru, Chem Amar yang memegang watak utama sebagai Naib Canselor UiTM ketika zaman muda.

Ketika ditemui pada tayangan perdana filem Chowrasta baru-baru ini, Chem atau nama sebenarnya Che Amar Khamis, 24, mendedahkan bukan mudah membawa watak itu kerana tiada pengalaman berlakon di layar perak.

“Ini kali pertama saya berlakon dan hanya mempunyai pengalaman dalam persembahan teater sejak peringkat diploma. Pengarah dan pelakon senior banyak membantu saya,” katanya.

Menurut pelajar FITA itu, cabaran dihadapinya ketika penggambaran adalah menjayakan babak pergaduhan yang memerlukannya beraksi dalam seni pertahanan diri Muay Thai.

“Saya ada pengalaman Muay Thai dan sudah lama tidak berlatih. Sebelum penggambaran, saya menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih dari Thailand selama tiga bulan,” katanya.

Kos filem RM2 juta

Apa yang membanggakan, Chowrasta turut diiktiraf dalam Malaysia Book of Records selepas tayangan perdananya di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam pada Jun lalu dengan disaksikan 4,416 penonton.

Filem yang membabitkan kos penerbitan mencecah RM2 juta itu turut menarik minat 16 negara pada Pameran Perdagangan Audio Visual Dunia (MIPCOM) di Cannes, Perancis, Oktober lalu.

Menurut Razak, bagi menampakkan Chowrasta mempunyai nilai komersial, 10 peratus daripada babak filem itu diwujudkan oleh produksi.

“Jalan cerita memang mengikuti, buku Mencorak Destini dan bagi tujuan komersial, kami menerapkan empat genre berbeza serta menambah beberapa babak supaya filem itu lebih menarik.

“Nilai komersial filem ini terbukti apabila beberapa produksi luar sudah membuat tempahan. Walaupun mereka tidak faham bahasa Malaysia, tetapi mereka berpuas hati terhadap kualiti filem ini,” katanya.

Razak yang juga Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) berkata, sebelum penggambaran, produksi melakukan beberapa kajian mengenai pasar Chowrasta termasuk ke lokasi kejadian.

“Pada masa sama, menghasilkan karya berlatarkan zaman 60-an dan 70-an bukan mudah dan memerlukan kos besar. Namun, segalanya berjalan lancar dengan pembabitan 16 pensyarah dan 45 pelajar fakulti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 11:48 AM