Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang jurulatih memandu, Chiah Yeo Shong, 65, dijatuhi hukuman denda RM15,000 dan penjara sehari di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini atas tuduhan memberi rasuah.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah sejumlah RM1,000 kepada kakitangan Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan, Rilek bagi meluluskan 23 pelajar sekolah memandu pada 26 Mac lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Mohamad Haldar Abdul Aziz juga menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 12.30 tengah hari di restoran di Pasaraya Tesco Tebrau sebagai dorongan untuk menguruskan ujian undang-undang berkomputer lesen memandu sebagai jaminan meluluskan 23 calon.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 12:04 PM