MUELLER (kiri) senjata Bayern robek Olympiakos.

Berlin: Keputusan seri akan membolehkan kedua-dua pasukan layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara namun Bayern Munich tetap mahu membuktikan kepada pencabar utama kumpulan Olympiakos siapa bos sebenar di Arena Allianz, awal pagi esok.

Kedua-dua Olympiakos dan Bayern mengumpul sembilan mata dalam Kumpulan F, namun kelab Bavaria kendalian Pep Guardiola mendahului dengan kelebihan jaringan dan mengalahkan musuh Greece itu 3-0 di Piraeus September lalu.

Kemenangan akan memastikan Bayern, yang tidak kalah dalam lapan perlawanan Eropah menentang kelab dari Greece, muncul juara kumpulan itu.

Mereka mahu meneruskan rentak kemenangan besar 5-1 ke atas Arsenal di laman sendiri tiga minggu lalu, kejayaan yang membalas kekalahan 0-2 di London, satu-satunya kekalahan mereka musim ini.

Pendahulu liga Jerman itu memanaskan badan bagi kunjungan juara Greece dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Schalke Sabtu lalu ketika David Alaba, Javi Martinez dan Thomas Mueller menyumbang gol di Gelsenkirchen.

Keputusan terkini Bayern tidak disenangi Olympiakos ketika kelab Bavaria itu mengekalkan reputasi Arena Allianz sebagai kubu kuat mereka.

Guardiola bagaimanapun memberi jaminan pasukannya tidak akan bermain untuk seri.

“Kami memberi jaminan kepada Arsenal akan keluar mengalahkan Olympiakos dan memastikan kedudukan juara kumpulan,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:18 AM