ANGGOTA keselamatan  yang turut serta dalam operasi merobohkan rumah di Batam membawa senjata yang dirampas daripada penduduk yang cuba menghalang operasi itu.
ANGGOTA keselamatan yang turut serta dalam operasi merobohkan rumah di Batam membawa senjata yang dirampas daripada penduduk yang cuba menghalang operasi itu.

Batam: Pihak berkuasa tempatan di sini semalam merobohkan ratusan kediaman yang didakwa dibina secara haram.

Operasi merobohkan kediaman itu dilakukan di Lurah Jodoh Kota Batam, membabitkan rumah yang didirikan secara tetap dan separuh tetap.

Usaha penduduk kawasan itu untuk menghalang operasi itu tidak dipedulikan pihak berkuasa.

“Kami sudah lama di sini. Jangan kerana kepentingan pengusaha kami diusir begitu saja. Kami juga penduduk Batam,” jerit sebahagian penduduk ketika cuba menghalang petugas melakukan operasi berkenaan.

Pihak berkuasa tiba di kawasan itu, lengkap dengan jentera berat dan meriam air yang digunakan untuk menyuraikan penduduk yang berhimpun menghalang gerakan merobohkan kediaman mereka.

Sebahagian penduduk berkata, mereka hanya berjaya menyelamatkan sebahagian barang berharga sementara kelengkapan lain dimusnahkan pihak berkuasa.

Operasi merobohkan ratusan kediaman itu berlanjutan hingga ke petang.

Sebahagian penduduk lanjut usia dan kanak-kanak kelihatan menangis. Ada yang meraung apabila melihat kediaman mereka musnah.

“Kami tidak tahu hendak ke mana. Tidak ada lagi tempat untuk kami berteduh. Di mana kami hendak menumpang, lebih-lebih lagi dengan musim hujan ketika ini. Mereka tidak berperikemanusiaan,” kata seorang penduduk, Ida. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:32 AM