Kuala Lumpur: Penampilan pertama Sime Darby FC dalam Liga Super musim lalu tidak mengecewakan apabila berjaya menamatkan saingan di tangga kelima, namun ia tidak bermakna pasukan berstatus kelab itu sudah berpuas hati apabila terus kekal dalam saingan elit itu musim depan.

Rombakan besar-besaran pemain dilakukan jurulatih Ismail Zakaria apabila hanya mengekalkan tujuh pemain tempatan dan seorang pemain import, Dilshod Sharofetdinov dari Uzbekistan daripada skuad sebelum ini.

Menurut Ismail yang membimbing Sime Darby FC mara ke final Piala FA sebelum tumpas kepada Kelantan 0-1 pada 2012, keputusan drastik itu dibuat bagi memantapkan lagi pasukan untuk berdepan musim lebih mencabar.

“Saya dalam proses mencari pemain baru untuk memperkuatkan pasukan bagi musim depan. Alhamdulillah kami membuat persiapan awal dan pasukan kami hampir lengkap. Saya hanya mengekalkan tujuh pemain tempatan antaranya kapten Juzaili Samion, Fahrul Razi Kamaruddin dan tiga penjaga gol manakala bagi pemain import hanya Dilshod ditawarkan kontrak baru.

“Walaupun sukar mendapatkan pemain tempatan yang menepati kriteria serta pasaran harga pemain semakin tinggi, tindakan pihak pengurusan mendapatkan pemain lebih awal membuatkan segala perancangan kami berjalan lancar,” katanya.

Ismail berkata, antara pemain baru yang akan memperkuatkan pasukan ‘Pembunuh Gergasi’ itu adalah beberapa tonggak Negeri Sembilan, Eddy Helmi Abdul Manan, Abdul Halim Zainal, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad dan Mohd Alif Shamsudin.

Manakala bagi slot tiga lagi pemain import, beliau kini mengintai untuk mendapatkan khidmat penyerang Serbia dan Bosnia.

“Kami sedar cabaran lebih sengit musim depan, kami perlu terus meningkat dan memperbaiki cabaran musim ini. Saya percaya kombinasi pemain muda dan berpengalaman akan menyuntik kekuatan baru dalam pasukan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:03 AM