LIM Yew Hoe (tiga dari kiri) memerhatikan aktiviti pelajar yang menggunakan kemudahan komputer di Sudut IT F&N .
LIM Yew Hoe (tiga dari kiri) memerhatikan aktiviti pelajar yang menggunakan kemudahan komputer di Sudut IT F&N .
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kepesatan penggunaan ruang siber dengan berkembangnya laman sosial di Internet ketika ini bukan saja memberi impak positif dalam aspek sosio­ekonomi, kebudayaan serta politik secara globalnya.

Aspek celik digital dan teknologi maklumat (IT) juga sering kali menjadi tanda aras kejayaan dalam masyarakat moden. Malah, tiada profesion yang tidak memanfaatkan revolusi digital ini, lebih-lebih lagi kemahiran komputer asas yang kini menjadi prasyarat untuk mendapatkan kerja.

Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, namun ramai individu khususnya belia kurang bernasib baik masih ketinggalan dalam bidang ini.

Menyedari jurang teknologi dalam kalangan pelajar kurang bernasib baik, Sudut IT F&N yang disediakan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd berusaha mewujudkan kesaksamaan digital untuk pelajar serba kekurangan dari Montfort Boys Town dengan melancarkan bilik IT keempatnya di institusi terbabit.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd, Lim Yew Hoe, inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar kurang berkemampuan.

“Ilmu IT dan kemahiran komputer kini semakin penting terutama dengan pertumbuhan pantas dunia digital masa kini.

“Pelajar yang tidak mempunyai capaian kepada IT,terutama golongan memerlukan akan ketinggalan dalam usaha mendapatkan pekerjaan yang baik dan membina masa depan lebih cerah.

“Dengan inisiatif Sudut IT F&N ini, kami harap dapat membantu melahirkan lebih pelajar berkemahiran tinggi dan merapatkan jurang IT dalam kalangan belia kurang bernasib baik,” katanya.

Sudut IT F&N berkos RM84,000 itu dilengkapi sepenuhnya dengan 30 komputer baharu, mesin cetak, pengimbas dan capaian Internet, selain menyokong kelengkapan tiga lagi bilik IT yang dibina untuk Montfort pada tahun sebelumnya.

Sejak inisiatif ini bermula pada 2010, F&N Beverages melabur lebih RM250,000 untuk mewujudkan suasana pembelajaran menarik dan memupuk kemahiran digital dalam kalangan pelajar.

Selain Sudut IT F&N, F&N Beverages juga meneruskan tajaan pelajar Montfort dalam program akreditasi Lesen Memandu Komputer Antarabangsa (ICDL) sejak 2011.

ICDL adalah pensijilan kemahiran komputer diiktiraf antarabangsa yang disokong kerajaan, organisasi antarabangsa dan syarikat korporat di peringkat global bagi memberi pelajar kelebihan kelayakan apabila mencari kerja.

Setakat ini, lebih 160 pelajar mencapai kecemerlangan dengan akreditasi ICDL ini. Guru Penyenggaraan Komputer di Montfort Boys Town, Siti Mardziah menekankan betapa pentingnya ilmu IT dalam dunia hari ini.

“Masa depan lebih cerah bagi mereka yang mempunyai ilmu IT secukupnya. Ada banyak peluang kerjaya terutama bagi mereka yang mengkhususkan bidang teknologi kerana kebanyakan syarikat hari ini mempunyai jabatan khas IT,” katanya.

Bagi Tamaraiselvi Subramanian yang berasal dari Kulim, Kedah, ilmu komputer menjadi jalan keluar daripada belenggu kemiskinan.

Pelajar berusia 19 tahun itu berusaha mencari peluang yang lebih baik dan memasang impian besar bekerja di luar negara selepas menamatkan kursus penyenggaraan komputer di Montfort.

“Saya berdepan persepsi negatif dan kurang sokongan daripada keluarga. Tetapi itu yang membuatkan saya lebih bersungguh-sungguh untuk berdikari dan membina masa depan yang lebih baik.

“Program ICDL ini membantu meluaskan skop kemahiran komputer asas saya dan mencetuskan minat untuk meneroka perisian lain supaya dapat membangunkan kemahiran kreatif saya dalam IT,” katanya.

Pelajar jurusan Bakeri dan Pastri, Lucas Devan Lee gembira kerana adanya Sudut IT F&N baharu di kampus.

“Dengan adanya bilik ini, kami mempunyai lebih banyak peluang untuk menggunakan komputer kerana keutamaan sebelum ini diberikan kepada pelajar yang mengkhusus dalam bidang komputer,” katanya.

Lucas yang berasal dari Kelantan menyemai bakat memasak sejak kecil dan sering menjadi cef di rumah.

Pelajar berusia 20 tahun itu menerangkan bahawa ilmu IT penting dalam apa jua industri, malah dia banyak bergantung kepada Internet untuk mencari resipi dan maklumat terkini yang relevan dengan pengajiannya.

Ketika majlis pelancaran ini, Pengarah Montfort Boys Town, Peter Issac merakamkan penghargaan kepada F&N Beverages kerana sokongan berterusan mereka.

“F&N sudah menyumbang ke arah misi kami di sini sejak 2010 dan kami harap usaha seperti ini diteruskan supaya membawa manfaat kepada lebih ramai pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:50 AM
Digital NSTP Subscribe