SENI anyaman Malaysia mula diangkat ke tahap antarabangsa.
GENERASI muda semakin berminat dan tertarik mempelajari seni anyaman.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Keindahan seni tradisional sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering diangkat di pentas peragaan dunia.

Batik yang dulunya sekadar kain basahan kini mula menerpa pasaran antarabangsa dalam bentuk lebih moden dan elegan.

Namun bukan hanya batik yang berupaya diangkat di mata dunia kerana banyak lagi seni warisan budaya yang boleh diketengahkan asalkan ada yang berminat melakukannya.

Seni anyaman rotan dan mengkuang kini kembali menarik minat masyarakat khususnya golongan muda berikutan nilai sentimental serta kehalusan buatannya.

Seperti apa yang diperjuangkan Hamidah Abd Mamat atas jenama Mida Nan Enterprise sejak tiga tahun lalu, seni anyaman tradisi ini juga berjaya mencuri tumpuan peminat fesyen global dek keunikan seni buatannya.

Bermula sebagai perniagaan keluarga, Hamidah kini antara pengusaha anyaman rotan yang kerap mempamerkan hasil karyanya di karnival tempatan dan antarabangsa.

“Mungkin atas pesatnya Internet dan media sosial, benda lama seperti warisan anyaman ini kembali mendapat perhatian masyarakat kita.

“Menariknya, semakin ramai golongan muda yang menyertai bengkel anyaman, selain pembeli dari negara luar yang mula berminat dengan seni kraftangan Malaysia.

“Saya percaya kita akan mempunyai pelapis yang akan meneruskan warisan ini dengan adanya pelbagai bengkel dan kursus kraf yang dijalankan di setiap negeri,” katanya.

Bagi pengusaha anyaman mengkuang, Asmah Ismail, persepsi negatif mengenai seni kraftangan ini mula pudar dalam kalangan masyarakat tempatan berikutan sambutan hangat yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini ramai mengatakan perniagaan kraf atau terbabit dalam aktiviti seperti ini tidak mendatangkan keuntungan kerana golongan muda tidak lagi berminat dengannya.

“Sebaliknya kini golongan muda pula yang ramai menyertai kelas, seminar dan bengkel kraftangan kerana melihat potensinya yang mula berkembang di peringkat antarabangsa.

“Orang luar mula menghargai hasil seni kita, jadi sudah tiba masanya kita membangunkan lagi seni warisan ini,” katanya yang bergerak atas jenama Kraftangan Mama.

Sememangnya minat generasi muda pada seni anyaman ini boleh dilihat sepanjang Ramadan lalu di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Bertemakan Anyaman Riang Ria Raya Di Sunway Pyramid, pusat beli-belah itu menyediakan kelas mini untuk mereka yang berminat mempelajarinya.

Rata-rata pengunjung muda yang memeriahkan kelas dengan penyertaan daripada pelbagai kaum.

Keunikan seni anyaman

Seni anyaman ini dikatakan bermula sejak era pemerintahan beraja di Melaka dan ia boleh dilihat menghiasi rumah masyarakat pada era itu.

Penggunaan tali, akar dan rotan menjadi asas utama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang mudah didapati kerana tumbuh liar di hutan, paya, kampung dan kawasan sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupa bentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman daripada jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang).

Bentuk anyaman dibuat berdasarkan fungsinya seperti dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan dalam kehidupan sehari-hari.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah daripada tumbuhan bertam, jenis palma Engeissona tritis dan nipah.

Pada 1756 hingga 1794, sudah terdapat penggunaan tikar raja yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada pokok bemban.

Anyaman juga adalah satu daripada gaya hidup yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu.

Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau menyilangkan bahan daripada tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan.

Mengkuang, lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang dan jut banyak digunakan sebagai asas anyaman. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan, diwarna dan lebih lembut untuk dianyam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:56 AM