A Aida syukur impian jadi kenyataan hasil kegigihan perluas empayar bisnes.
A Aida syukur impian jadi kenyataan hasil kegigihan perluas empayar bisnes.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Ketika penerbit lain mengeluh peluang menghasilkan drama semakin tertutup, A Aida pula terus gigih melebarkan empayar A Aida Production.

Selepas lima tahun menyewa, Aida, 43, mampu tersenyum bangga apabila mempunyai pejabat sendiri serta menggajikan 16 pekerja.

Menerusi perancangan rapi serta hasil berjimat cermat, Aida puas impiannya menjadi kenyataan.

“Syukur usaha saya membuahkan hasil dan dapat merasa duduk di pejabat milik sendiri. Saya anggap ini rezeki yang dikongsi dengan semua kakitangan saya.

“Proses pengubahsuaian pejabat ini menelan kos RM100,000 dan saya sangat puas hati kerana dapat melihat keindahan bandar raya Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas KLCC dari bilik saya,” katanya.

Meskipun gembira, Aida mengakui awalnya ragu-ragu untuk mempunyai pejabat sendiri kerana dihantui pelbagai kemusykilan.

“Macam-macam persoalan bermain di fikiran, antaranya bimbang tak mampu bayar gaji pekerja yang ramai. Saya ada juga bertanya dengan kawan-kawan dan mereka bagi pandangan berbeza.

“Akhirnya saya berjumpa seorang ustaz bagi mendapatkan nasihat dan terpikat dengan kata-katanya yang sangat mendalam. Jelasnya mungkin ini rezeki saya yang datang menerusi pekerja.

“Ia menguatkan azam saya untuk terus membangunkan A Aida Production serta memiliki pejabat sendiri. Selain kakitangan tetap, saya juga mempunyai 60 pekerja sambilan dalam bidang produksi,” katanya ketika pelancaran pejabat A Aida Production di Wisma Rampai, Setapak, baru-baru ini.

Menurut Aida, pejabatnya dilengkapi bilik mesyuarat, bilik suntingan, bilik rakaman audio dan bilik penyimpanan peralatan penggambaran.

Tak kisah berbelanja besar

Jelas Aida, dia bersyukur apabila dalam sebulan ditawar menerbitkan tiga hingga empat drama. Paling sikit pun, dua drama sebulan.

“Saya bekerja keras menghasilkan kertas kerja drama untuk mana-mana stesen TV. Kalau satu tawaran ada 25 episod, ia sudah memadai untuk kerja sebulan.

“Kini, produksi saya sibuk menyiapkan penggambaran telefilem Cik Siti Tanah Masyhur yang menemui penonton di TV3 bulan depan. Saya sanggup berhabis untuk projek ini memandangkan ceritanya sangat menarik.

“Saya beli kamera berteknologi tinggi berharga RM150,000 dan drone untuk digunakan ketika penggambaran.

“Cik Siti Tanah Masyhur adaptasi kisah benar yang berlaku di Johor. Ia mengisahkan seorang wanita berkahwin dengan 99 lelaki yang dibintangi Izara Aishah, Sabhi Saddi dan ramai lagi nama besar,” katanya.

Aida turut sibuk dengan penggambaran drama Bodyguard yang membariskan pelakon Fattah Amin, Idris Khan, Azrel Ismail dan Lan Siro.

“Selain menampilkan pelakon berpengalaman, saya tak lupa selitkan nama baru dalam drama saya. Dalam drama Hello Mr Perfect misalnya, saya ambil Nur Ruhainies.

“Tak dinafikan saya ada dengar macam-macam komen mengenai persembahan pelakon saya, tetapi tak kisah apa orang cakap kerana yang penting Hello Mr Perfect jadi trending.

“Selain itu, saya berhasrat memiliki saluran televisyen sendiri satu hari nanti. Persediaan dibuat ke arah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 11:11 AM