Milan: Jurulatih baru Inter Milan, Roberto Mancini tidak bercadang membawa Mario Balotelli kembali ke kelab Serie A itu selepas mengambil alih kali kedua di Nerazzurri, kelmarin.

Mancini yang menghabiskan empat musim penuh kejayaan di Inter antara 2004-2008, menggantikan Walter Mazzarri yang dipecat Jumaat lalu selepas Inter merudum ke tangga kesembilan liga dengan hanya menang empat daripada 11 perlawanan pertama.

Namun ketika pengendali dari Itali itu bersedia membicarakan mengenai taktikal dan rombakan pemain, Mancini berkata, Balotelli yang kini bergelut mencari prestasi terbaik di Liverpool tidak berada dalam perancangannya.

“Mario bertindak baik di Liverpool dan tidak harus berdepan masalah di sana. Dia patut menggunakan setiap peluang diterimanya,” kata Mancini.

Balotelli memulakan karier senior di bawah kendalian Mancini di Inter dan selepas bergaduh dengan jurulatih Inter selepas itu, Jose Mourinho, dia menuruti Mancini ke Manchester City pada 2010.

Namun Balotelli yang terkenal dengan masalah disiplin menyebabkan mereka sering bertelagah dan City akhirnya menjual penyerang Itali itu ke AC Milan pada Januari 2013.

Kini di Liverpool, dia gagal menjaringkan sebarang gol liga setakat ini, Balotelli pastinya pemain terakhir berada dalam senarai dihajati Mancini, Krismas ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:05 AM