Podgorica: Jaringan penalti Stevan Jovetic (gambar) pada lewat permainan membantu Montenegro mengikat Sweden 1-1 pada perlawanan Kumpulan G kempen kelayakan Euro 2016 selepas Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol untuk pasukan pelawat pada babak pertama, awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan Sweden menduduki tempat kedua kumpulan dengan enam mata daripada empat perlawanan, mengatasi Montenegro dan Russia satu mata serta empat mata di belakang pendahulu Austria yang menewaskan Russia 1-0.

Sweden berdepan kekecewaan selepas pengadil Scotland, William Collum tidak membenarkan jaringan pemain tengah, Albin Ekdal pada masa kecederaan.

Ibrahimovic yang baru pulih daripada kecederaan tumit dan menyaksikannya tidak dapat diturunkan pada dua perlawanan kempen kelayakan, menjaringkan gol pembukaan pada minit kesembilan.

Ia jaringan ke-51 sepanjang 101 penampilan antarabangsa dan dia terlepas beberapa lagi cubaan menarik untuk menambah jaringan.

Jovetic yang juga penyerang Manchester City mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol selepas itu, tetapi gagal menyempurnakannya dengan baik.

Bagaimanapun, Jovetic tidak mensia-siakan sepakan penalti dihadiahkan kepada Montenegro selepas Vladimir Jovovic dikasari dua pertahanan lawan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:05 AM