CHEVROLET Cruze Sport.
Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: NAZA Quest Sdn Bhd (NAZA Quest) pengedar rasmi kenderaan Chevrolet di negara ini memperkenalkan varian edisi sport dipertingkatkan menerusi model Colorado Sport dan Cruze Sport yang kini dibuka untuk tempahan.

Dua varian baru itu menampilkan peningkatan daripada segi reka bentuk dalaman, luaran dan prestasi lebih unggul bakal dipamerkan di Pameran Auto One Utama bermula pada 2 hingga 6 Disember depan.

Naib Presiden 1 NAZA Quest, Thoo Ai Wuen berkata, pengenalan dua varian baru itu menonjolkan sisi lebih bergaya dan prestasi memberangsangkan serta menawarkan pengalaman pemilikan berbeza.

“Sebagai insentif tambahan, kami menyediakan rebat tunai menarik dan peluang menonton perlawanan bola sepak Manchester United menentang Chelsea secara langsung di Old Trafford kepada orang ramai yang berminat membeli.

“Sebagai jenama diiktiraf dan dikenali di seluruh dunia dengan tahap keselamatan serta kami sentiasa memastikan setiap pemilik kereta Chevrolet berpuas hati dengan kualiti disediakan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Model Chevrolet Colorado Sport adalah model dipertingkatkan daripada Colorado LTZ Muscle dipadankan enjin diesel berkuasa 2.8 liter empat silider DOHC Duramax menjadikan model berkenaan yang terhebat dalam kelasnya pada harga RM138,967 atas jalan termasuk insurans dan cukai jalan selain pakej jaminan tiga tahun atau jarak perjalanan 100,000 kilometer.

Sementara itu, bagi model Chevrolet Cruze Sport ia dikuasakan dengan enjin efisien 1.8L Ecotec DCVCP pada harga diatas jalan raya termasuk insurans dan cukai jalan RM122,868 dengan pakej jaminan selama lima tahun atau jarak perjalanan 200,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 6:51 AM