X
SOON Kit (kanan) bantu pelapis muda.
SOON Kit (kanan) bantu pelapis muda.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kepulangan semula Cheah Soon Kit ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka memberi kesan positif kepada pemain muda negara dan hakikat itu diakui sendiri jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang.

Menurut Cheh Chang, pengalaman dimiliki pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 Atlanta itu bakal membantu pemain terutama pelapis muda untuk menunjukkan cara terbaik bagaimana mahu menjadi atlet terbaik dunia.

“Pengalaman yang beliau ada mampu membantu membimbing pemain berdasarkan maklumat diperoleh ketika menjadi pemain mahupun membimbing skuad beregu wanita sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, jika Soon Kit ditugaskan membimbing skuad beregu lelaki ia juga langkah baik kerana buat masa sekarang bahagian berkenaan dilihat kurang stabil.

“Tidak kira sama ada beliau akan menjadi jurulatih beregu lelaki atau mengetuai skuad beregu, saya rasa ia keputusan yang baik buat semua. Lagipun sebelum ini beliau mempunyai pengalaman dan pencapaian cemerlang ketika membimbing skuad beregu wanita.

“Beliau juga seorang atlet terulung terutama ketika membantu skuad negara meraih Piala Thomas 1992 dan perak Olimpik 1996 ketika bergandingan bersama Yap Kim Hock,” katanya.

Soon Kit dijangka memulakan tugasnya bersama BAM Selasa pada 1 Disember untuk memperkuatkan lagi skuad beregu yang sekarang ini dibarisi Cheh Chang, Jeremy Gan (beregu lelaki), Lim Pek Siah, Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

“Beliau akan memberi idea baru bagi mempertingkatkan keupayaan pemain muda. Dalam masa sama pemain senior akan turut mendapat maklumat berdasarkan pengalamannya.

“Mengenai perwatakan, beliau seorang yang tegas dan sentiasa mahu muncul juara,” kata Cheh Chang yang pernah bergandingan dengan Soon Kit suatu ketika dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 9:51 AM