MORATA (kanan) akui belum menyerlah.
MORATA (kanan) akui belum menyerlah.

Turin: Juventus mesti menundukkan Manchester City untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi esok dan kebanyakan peminat masih percaya cara terbaik mencapai impian itu adalah dengan menggandingkan Alvaro Morata dan Paulo Dybala di bahagian serangan.

Pada awal musim, penyokong Juventus amat mengharapkan gandingan baru antara Morata dan Dybala yang berusia 22 tahun, dibeli dari Palermo bagi menggantikan rakan senegaranya dari Argentina Carlos Tevez.

Namun, pasangan itu hanya bermula dalam lima daripada 17 perlawanan kompetitif Juve musim ini ketika juara Serie A itu bergelut dengan prestasi.

Sebaliknya, jurulatih Massimiliano Allegri lebih suka menggunakan Mario Mandzukic sebagai penyerang utamanya sekalipun penyerang Croatia itu jelas bergelut.

Morata, sering kali beraksi di sayap kiri, baru-baru ini mengakui dia belum mampu menyerlah.

Allegri menegaskan Dybala memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dan tidak boleh beraksi sebagai penyerang tunggal. Bagaimanapun, awal pagi esok mungkin masa yang sesuai memberikan peluang kepada kedua-duanya.

Dybala menyumbat gol kemenangan menentang AC Milan Sabtu lalu sekali gus mengumpul enam gol dalam Serie A.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan saya sedar saingan merebut tempat amat sengit tapi setiap orang membantu saya menyesuaikan diri,” katanya. “Saya tahu banyak lagi boleh saya sumbangkan,” kata Dybala. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 10:31 AM