NIZAM menerima berita penyingkirannya dengan tenang.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Penyingkiran Nizam Laksamana pada ming­gu keenam program Gegar Vaganza 2 (GV2) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu mengundang rasa hiba peserta lain sehingga ada yang menitiskan air mata.

Kritikan keras komposer Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah terhadap persembahan Nizam yang menyampaikan lagu Rindu Serindunya membuatkan bekas vokalis kumpulan Laksamana itu gagal meneruskan perjuangan ke pusingan seterusnya.

Persaingan sengit menerusi tema Kenangan Terindah menyaksikan tiga peserta menduduki tangga terbawah iaitu Acong Sweet Child (Benci Tapi Rindu) dengan markah 75.7 peratus, Azian Maz­wan Sapuwan (Layu Sebelum Berkembang - 73.2 peratus) dan Nizam (54.8 peratus).

Sekali lagi carta diungguli Siti Nordiana menerusi lagu Ku Tak Akan Bersuara dengan markah 82 peratus, Ezad Lazim (Cinta Melankolia - 80.5 peratus), Farahdhiya (Di Manakan Ku Cari Ganti - 80.1 peratus), Nassier Wahab (I’ll Be There - 78.1 peratus) dan Haiza (Patahnya Sayap Malam - 77.9 peratus).

Nizam ketika ditemui mengakui dirinya kurang sihat pada hari itu.

“Meskipun demam, saya cuba juga memberikan persembahan terbaik dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Nampaknya perjuangan saya terhenti setakat ini dan saya terima dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun, peluang untuk terus bertanding masih ada melalui imuniti Datuk Seri Vida. Kalau peminat masih teringin melihat saya beraksi, boleh membuat rayuan di Instagram beliau,” katanya.

Tegas Nizam, masalah kesihatan bukan punca kegagalannya bertahan dalam GV2. Bahkan dia juga tidak terasa hati dengan kritikan Pak Ngah.

“Sihat dan sakit semuanya pemberian Allah. Saya tak kecewa dan ia bukan alasan atau penyebab saya gagal meneruskan perjuangan.

“Adat pertandingan ada kalah dan menang. Setiap penyanyi yang bertanding mesti menunjukkan persembahan yang bagus,” katanya.

Meskipun tersingkir, Nizam bersyukur kerana menerima kejutan daripada Datuk Seri Vida iaitu pakej menunaikan umrah untuknya dan isteri.

“Sejak awal lagi saya berazam sekiranya menang GV2, saya mahu menunaikan haji, bayar hutang dan bersedekah. Pun begitu, langkah saya terhenti pada mingu ini (keenam). Bagaimanapun, Allah buka hati Datuk Seri Vida untuk bantu saya.

“Rupa-rupanya beliau mengkaji latar belakang saya. Beliau tahu hasrat saya dan beri kejutan ini.

“Bagi saya, ini hadiah paling istimewa pernah saya terima sepanjang bergelar penyanyi. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Vida,” katanya.

Mengulas kesedihan peserta lain, Nizam berkata, ia mungkin kerana ibunya, Huwi Mohd Sawi, 68, hadir menonton persembahan pada malam itu.

“Saya mula menyanyi pada 1991. Ibu tak pernah sekali pun menonton per­sembahan saya.

“Namun pada malam ini, buat pertama kalinya ibu datang. Saya nampak ibu menangis sewaktu nama saya diumumkan keluar. Dia ingat saya tak kuat, tetapi saya sudah bersedia,” katanya yang tidak putus menerima sokongan isteri dan anak-anak tersayang.

Sementara itu, Siti Nordiana mengakui dua ming­gu mengungguli carta memberikan tekanan kepadanya untuk terus berusaha memberikan persembahan terbaik.

“Setiap minggu saya risau akan terkeluar. Justeru, saya akan buat sehabis baik untuk penyokong saya. Kalau diikutkan semua peserta hebat-hebat belaka.

“Pada awal pertandingan, persembahan saya dikatakan kaku dan agak lemah. Bermula dari situ saya berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 1:05 PM