KUMPULAN Kesenian Jabatan Negeri Johor dengan tarian Zapin Gema Daksina.
Oleh Nor Akmar Samudin


Gerak tari lemah gemalai bukan sekadar lambang keindahan seni tradisi, malah turut menterjemahkan cara hidup bangsa Melayu yang kaya dengan adab sopan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selaku penegak seni budaya bangsa berkolaborasi dengan Kementerian Pelacongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan Malam Gala Inspitari di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif bagi memperkasakan seni budaya negara.

Bertemakan ‘Memperkaya Koleksi Tari Kreasi Baru’, setiap tarian ditampilkan secara simbolik dengan menyelitkan identiti negeri di Malaysia. Kumpulan Kesenian JKKN di seluruh negara cuba mengupas keunikan masyarakat menerusi olahan dalam tarian.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, menerusi penganjuran kali ini orang ramai dapat menyaksikan 16 tarian. Semua persembahan diolah semula dan diberi nafas baru baik dari segi pola lantai, pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana hasil kajian terperinci setiap Kumpulan Kesenian JKKN.

“Pembentangan konsep dan idea dibuat dengan terperinci oleh saya sendiri sebelum setiap tarian dipersembahkan kepada umum. Inspitari adalah gabungan dua perkataan iaitu inspirasi dan tari. Ia menggarap idea baru yang kreatif dan inovatif.

“Penganjuran Inspitari 2015 adalah satu usaha melahirkan tarian baru yang lebih dinamik dan segar,” katanya.

Pada malam gala itu, Kumpulan Kesenian JKKN Wilayah Persekutuan mempersembahkan tarian Joget Jengket dan Tari Gong.

Joget Jengket diilhamkan daripada permainan rakyat iaitu Teng Teng manakala Tari Gong pula pula mengambil inspirasi muzik gong.

Sementara itu, Kumpulan Kesenian JKKN Perlis mengetengahkan tarian Lenggang Harum Manis, JKKN Kedah (Tari Gobek), JKKN Pulau Pinang (Zapin Parsi), JKKN Perak (Bubu Kert), JKKN Selangor (Tarian Batu Tumbuk), JKKN Kuala Lumpur (Rou You Gang) dan JKKN Melaka (Tari Sari Lintang).

Penonton turut terbuai dengan persembahan mantap JKKN negeri Sembilan menerusi tarian Monang Kobau, JKKN Johor (Tari Gema Daksini), JKKN Pahang (Kurichak), JKKN Terengganu (Mek Awang Tiruk), JKKN Kelantan (Tari Godang), JKKN Sabah (Rampakan) dan JKKN Sarawak (Ngalai Apu Busak).

Jelas Norliza, sekali pun corak persembahan tarian bertunjangkan nilai komersial, keaslian dan disipilin dalam gerak tari tradisional masih dikekalkan.

“Improvisasi yang diketengahkan bertujuan menghasilkan persembahan yang lebih menarik dan relevan dengan peredaran zaman.

“Semua kumpulan terbabit pernah mengikuti pelbagai program anjuran JKKN seperti bengkel dan latihan berkumpulan. Koreografer bertanggung–jawab menghasilkan gerak tari berasaskan tarian sedia ada negeri masing-masing atau mengolah semula agar ia lebih segar, menarik dan sesuai dengan keadaan semasa.

“Apa yang dipersembahkan mungkin tak sempurna, namun setidak-tidaknya ia garapan segar dan mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat terutama anak muda.

“Hasil daripada ‘pembenihan’ idea kreatif ini akan menjadi satu bentuk ‘repertoire’ apabila JKKN mengadakan persembahan di dalam dan luar negara. Apatah lagi seni tari adalah salah satu daya tarikan pelancong untuk datang ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 12:39 PM