TIGA pengacara program itu curah kreativiti bersama dengan cara tersendiri.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Program hiburan 15 minit The 8TV Quickie (Quickie) kini menampilkan tiga hos baru iaitu Timur Gabriel, 21, Zooey, 22, dan Jenn Chia, 24, di samping dua lagi hos, Brandon Ho dan Mark O’dea.

Selain menyajikan sesuatu yang baru, ketiga-tiga hos ini juga diambil sebagai penerus legasi barisan hos program itu yang sebelum ini pernah dikendalikan Marion Caunter, Henry Golding, Phat Fabes, Belinda Chee dan Rina Omar.

Timur yang menggantikan tempat hos sebelum ini, Nadia Nash berkongsi perasaannya apabila menggalas tanggungjawab besar untuk mengendalikan program itu.

“Nadia ada pengikutnya tersendiri dan sasarannya adalah untuk penonton Melayu. Saya pula akan cuba kendalikan Quickie dengan cara saya sendiri,” katanya yang juga anak kepada penyanyi popular, Zainal Abidin.

Menurut Timur, sepanjang enam bulan berada di Quickie, ada satu perkara positif yang dipelajarinya.

“Saya sangat teruja dan gembira di Quickie kerana kami digalakkan untuk menjadi diri sendiri. Kami juga berpeluang untuk mencurahkan kreativiti berdasarkan personaliti kami,” katanya.

Bagi Zooey pula, dia sebelum ini menyimpan cita-cita untuk menjadi hos Quickie dan kini ia menjadi kenyataan.

“Menjadi hos di Quickie salah satu impian saya. Jadi, apabila ada peluang untuk menjadi hos, saya tidak menolak.

“Di sini, semua kru termasuk Timur dan Jenn sekepala dan tidak susah untuk saya menjadi serasi dengan mereka,” kata pemilik nama penuh Zubaidah Mohd Noor Amir ini.

Dia juga turut berkongsi, perjalanannya agak panjang sebelum bergelar pengacara di program itu.

“Tiga tahun lalu, saya pernah mencuba nasib menghantar penyertaan ke sesi uji bakat hos Quickie, tetapi pada hari uji bakat itu saya tidak dapat hadir kerana terikat dengan pekerjaan lain,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai penyampai radio.

Bagi Jenn Chia setiap kali muncul di depan kamera untuk mengendalikan Quickie, perasaan gementar tetap ada walaupun dia sudah biasa beraksi untuk saluran YouTube miliknya.

“Perasaan gementar itu memang ada. Bagaimanapun, saya mencuba sedaya upaya untuk tidak nampak kekok ketika bersiaran,” katanya.

Katanya, selain menyimpan minat mendalam dalam bidang pengacaraan, dia juga berbakat besar dalam bidang muzik.

“Selain menghasilkan vlog mengenai gaya hidup di YouTube, saya juga aktif dalam bidang muzik dan terbabit dengan beberapa buah band,” katanya.

Program Quickie yang mula bersiaran sejak 2004 ini tentunya akan tampil lebih meriah dan segar dengan kehadiran tiga hos baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 12:55 PM