Oleh Safizan Yakin


Kuala Lumpur: Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) menjangka kunjungan sehingga 20,000 pengunjung ke MITA Tourism Fair 2016 yang pertama kali diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 29 hingga 31 Januari 2016.

Presidennya Frankie SK Lee berkata, pameran itu yang disertai lebih 140 penggiat industri menawarkan pakej pelancongan untuk destinasi tempatan pada harga istimewa dengan diskaun sehingga 50 peratus.

"Pameran ini memberi tumpuan kepada destinasi menarik dalam negara selaras dengan kempen kerajaan menggalakkan pelancongan domestik.

"Selain ejen pelancongan, ia turut disertai pengendali hotel, pengusaha cendera mata dan pengendali restoran," katanya selepas pelancaran pameran itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Selain pakej percutian, pameran bermula jam 9 pagi hingga 9 malam itu turut menawarkan baucar bagi penginapan hotel atau makanan yang dapat memberi penjimatan berganda kepada pengunjung.

Menurut Frankie, objektif utama pameran menggalakkan pengunjung merancang percutian lebih awal kerana ramai membuat tempahan saat akhir menyebabkan kos tinggi.

"Melalui pameran ini mereka dapat merancang percutian dengan bijak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 2:33 PM