Perdana Menteri beramah mesra dengan orang ramai yang berurusan di UTC Pudu Sentral. - Foto Ihsan Facebook Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan orang ramai yang berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara UTC Pudu Sentral. - Foto Ihsan Facebook Najib Razak
Datuk Seri Najib Razak berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Pudu Sentral menggantikan sijil lahirnya. - Foto Ihsan Facebook Najib Razak
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu Sentral hari ini, untuk meninjau sendiri keadaan pusat sehenti berkenaan selepas tiga tahun ia dirasmikan.

Kehadiran beliau ke UTC Pudu Sentral bagi menyempurnakan urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sambil memeriksa kualiti perkhidmatan di pusat berkenaan.

“Saya ke JPN untuk menggantikan sijil lahir yang siap dalam masa tidak sampai 30 minit. Ramai juga di sini untuk urusan masing-masing.

“Saya rasa, paling muda adalah bayi berumur 20 hari, Nur Izzatul yang juga datang untuk mendapatkan sijil lahir,” kata Najib dalam entri terbaru Facebook dan Twitter beliau semalam.

Bercerita lanjut di laman blog www.najibrazak.com, Perdana Menteri berkata, majoriti yang datang berpuas hati dengan mutu perkhidmatan, tidak kira ketika memperbaharui lesen memandu, pasport antarabangsa atau menggantikan MyKad dan sijil kelahiran.

“Perkhidmatan amat baik serta memenuhi piawaian kerajaan. Pasport antarabangsa siap dalam masa kurang sejam.

“Malah, saya sendiri menggantikan sijil kelahiran saya dan menerimanya dalam masa kurang daripada 30 minit,” katanya.

Menurutnya, waktu perkhidmatan di UTC yang dipanjangkan sehingga 10 malam setiap hari membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat awam di bawah satu bumbung serta di luar waktu kerja.

Bilangan pengunjung juga dikatakan lebih ramai pada hujung minggu berbanding hari biasa.

“Saya sempat berbual dengan peniaga di medan selera UTC ini. Menurut mereka, pelanggan kurang sekarang kerana pemindahan terminal bas Pudu.

“Kecekapan petugas di UTC juga membuatkan orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk giliran mereka,” katanya.

Najib berkata, beliau mengambil maklum keluhan peniaga dan mendapati wujud kekurangan papan tanda untuk memberitahu pengunjung mengenai medan selera dan perkhidmatan sampingan lain.

“Penambahbaikan perlu dilakukan dari segi ini, dan sekiranya ia dilakukan, keadaan akan bertambah baik.

“Terima kasih dan tahniah kepada kakitangan yang berkhidmat di sini atas kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan.

“Saya harap kualiti perkhidmatan ini dikekalkan bukan sahaja di UTC Pudu Sentral, malah juga di UTC lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 7:26 PM