Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Subang: MK Land Holdings Berhad (MK Land), bersedia untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan lebih banyak rumah mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lau Shu Chuan berkata, MK Land mempunyai pengalaman yang luas dalam membina rumah mampu milik dan pihaknya komited untuk membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

Katanya, syarikat bukan sahaja memfokus kepada projek perumahan mewah, malah sejak beberapa tahun lalu kumpulan telah membina projek kediaman rumah kos rendah dan medium.

“Setakat ini, pendapatan daripada rumah mampu milik menyumbang 50 peratus kepada pendapatan syarikat, meningkat daripada 20 hingga 30 peratus sebelum ini.

“Sama seperti projek di Damansara Damai dan Damansara Perdana, MK Land tidak ketinggalan membina rumah mampu milik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan MK Land di sini, semalam.

Menurutnya, mengenai produk perumahan mampu milik kerajaan, iaitu Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), pihaknya tidak terbabit dengan projek itu namun bersedia membantu kerajaan jika diperlukan untuk pembinaan PR1MA.

Sementara itu, mengenai hala tuju kumpulan, Lau berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal RM7 juta bagi menambah baik resort, hotel dan taman tema di Bukit Merah, Perak.

“Lebih kurang RM5 juta akan digunakan untuk membaik pulih taman tema di Bukit Merah bagi menjadikannya lebih menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:46 AM