BABAK menarik dalam Aladdin- A Musical Comedy.
BABAK menarik dalam Aladdin- A Musical Comedy.
BABAK menarik dalam Aladdin- A Musical Comedy.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kisah hikayat Aladdin menjadi ikutan kanak-kanak sejak dulu. Justeru, tidak hairan mengapa pementasan teater Aladdin-A Musical Comedy yang berlangsung di PJ Live Arts Theater (PJLA) dari 20 November sehingga 29 November ini mendapat sambutan hebat penonton cilik.

Pementasan arahan pelakon dan aktivis teater, Joanna Bessey ini membariskan Jayson Phuah sebagai Aladdin, Peter Davis (The Evil Wizard Abanaz), Rashid Salleh (Widow Twanky), Tria Aziz (The Genie of the Ring), Nabilah Hamid (Princess Kim K), Phraveen Arikiah (Wishee Washee) dan Puteri Hana Megat Osman (Won Ton).

Joanna atau Jo Be yang pernah mengarahkan naskhah An Enemy Of The People pada 2008, Dreamgirls (2013), Seussical The Broadway Musical (2014) dan Love Journey - A Nation Of Two pada Julai lalu, berjaya menggunakan pengalamannya bagi menyuntik elemen komedi yang menggeletek hati penonton.

Dia bijak menggunakan konsep interaktif membabitkan watak di atas pentas dengan penonton kanak-kanak, sekali gus menjadikan suasana persembahan gamat dengan gelak tawa dan sorakan penonton.

Dialog yang dilontarkan setiap karakter tidak terikat dengan cerita Aladdin semata-mata, tetapi turut merangkumi situasi semasa seperti isu GST.

Jo Be juga bejaya menyulam keserasian antara pelakon berpengalaman dengan bakat muda. Meskipun tempoh latihan diperuntukkan tidak sampai sebulan, semua pelakon berjaya mengidupkan watak masing-masing dengan berkesan.

Menepati konsep muzikal, teater yang menggabungan penceritaan asal dan moden ini turut mengetengahkan eleman tarian dan nyanyian.

Suara emas Tria berjaya memukau penonton dan melayakannya menerima pujian melambung daripada penonton.

Peter cukup menyerlah dengan watak ahli sihir sehinggakan setiap kali tampil di atas pentas, dia pasti diejek penonton cilik.

Jika pengakhiran cerita hikayat Aladdin berakhir dengan tragis, garapan Jo Be pula sebaliknya apabila menampilkan konsep harmoni dan penutup yang menggembirakan.

Ia secara tidak langsung menerapkan unsur positif terhadap kanak-kanak yang menonton karya terbabit.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.tix.my atau Facebook EnfinitiAcademyOnStage.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:09 AM